Home Artikel PAS Perlis

PAS Kangar Rayu Sumbangan Kewangan Bantu Penduduk Terjejas PKP

507
SHARE

Oleh: Amirul Syakirin

KANGAR: Keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 menyebabkan kehidupan sesetengah penduduk  khususnya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, terjejas.

Menyedari akan perkara ini, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Kangar, telah membuka peluang kepada para penyumbang untuk sama-sama menyumbang bagi meringankan beban yang ditanggungi golongan tersebut.

Menurut pengerusinya, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil, orang ramai diseru agar menyalurkan sumbangan berupa wang tunai melalui pihaknya untuk tujuan berkenaan.

“Wang yang diterima akan digunakan bagi pembelian barangan keperluan dapur, yang kemudiannya akan diagihkan kepada para penerima yang memerlukan.

“Sumbangan daripada anda tentunya akan membantu meringankan beban yang sedang mereka tanggung akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang sedang berkuatkuasa ini”, katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Asrul Aimran berkata, PAS Kawasan Kangar menganggarkan peruntukan yang diperlukan bagi setiap penerima adalah sebanyak RM50 dalam bentuk barangan keperluan dapur.

Golongan yang akan diberikan keutamaan ujarnya, adalah mereka yang bekerja sendiri, golongan fakir miskin dan golongan kurang upaya, warga emas, ibu tunggal serta anak-anak yatim.

“Sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun BIMB PAS Kawasan Kangar bernombor 09010010016455 atas nama Tetuan PAS Kawasan Kangar.

“Setiap sumbangan yang telah dibuat perlu dimaklumkan kepada saya untuk tujuan rekod melalui nombor 019-4170244 (Ustaz Asrul),” katanya.