Oleh: Mimi Hazwa M.Shom
4 NOVEMBER 2022
PETAGAS: PAS Putatan melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan meneruskan program ziarah di kampung Petagas yang merupakan kesinambungan program ziarah yang diadakan pada Sabtu lalu dan ziarah kali ini bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung yang memerlukan.
Selain menyampaikan sumbangan yang berupa barang keperluan asas, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS kawasan Putatan, Noorsheela Shamsudin turut hadir menziarahi keluarga salah seorang penduduk di kampung tersebut iaitu Habibah Jailani yang baru sahaja kehilangan dua orang anak tersayang.
Dalam ziarah tersebut, Noorsheela Shamsudin turut menyampaikan sumbangan khairat kematian sebagai tanda keprihatinan dan takziah PAS Putatan kepada keluarga yang terlibat.
Turut sama merakamkan salam takziah atas pemergian keluarga terlibat ialah Raidah Hanisa Ruslan, Ketua Lajnah kebajikan Dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS kawasan Putatan.
“Semoga arwah dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama golongan para solihin,” ujar Noorsheela.
Turut hadir bersama dalam program ziarah tersebut ialah Siti Mariam Morshidi, Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan kemasyarakatan PAS Putatan.
Menurut Noorseheela, PAS Putatan menerusi Lajnah Kebajikan dan kemasyarakatan PAS kawasan Putatan berharap sentiasa komited meneruskan program-program ziarah seperti ini bagi membantu lebih ramai golongan-golongan yang memerlukan khususnya di sekitar kawasan Putatan.