Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS PULAU PINANG gesa Kerajaan DAP tanggung kerugian penduduk pangsapuri Centrio Avenue Gelugor Pulau Pinang

107
SHARE

Oleh Syahriza Abd Kadir

BATU UBAN, 17 OKTOBER – PAS Pulau Pinang bersama Pertubuhan Warisan Tanah dan Teroka Bandar (TEROKA) nekad untuk membantu isu permasalahan penduduk yang mendiami Pangsapuri Centrio Avenue Bukit Gambir Gelugor sejak tahun 2015.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff ditemui ketika mengadakan pertemuan bersama penduduk Taman Terubung Indah Paya Terubung dan Pangsapuri Centrio Avenue Gelugor mendengar keluhan tentang permasalahan yang mereka alami berkenaan dengan beberapa isu rumah yang mereka miliki.

Tumpuan telah diberi kepada isu yang dialami penduduk Centrio Avenue memandangkan tiada sebarang tindakan diambil oleh pemaju perumahan dalam menyelesaikan isu yang tertunggak selama (6) tahun iaitu dari tahun 2015-2021.

Rata-rata penduduk Centrio Avenue memaklumkan, bermula tahun pertama memiliki rumah, telah banyak masalah yang dihadapi mereka. Di antara yang kritikal, kebocoran dinding dan bumbung yang melibatkan hampir keseluruhan rumah. Paling membimbangkan apabila berlakunya renjatan elektrik suis dan plug yang amat dikhuatiri keseluruhan penduduk kerana melibatkan keselamatan nyawa.

 

 

 

Muhammad Fauzi Yusoff yang amat terkesan dengan isu ini amat kecewa dengan Kerajaan DAP yang tidak bertanggungjawab dengan suara penduduk Centrio Avenue dalam meluahkan permasalahan yang mereka hadapi sejak 2015 lagi.

Amat dikesali lagi apabila Kerajaan DAP lebih menguntungkan pemaju dalam mengaut keuntungan lebih daripada mengutamakan kehendak dan keperluan para pembeli rumah. Mengejutkan lagi apabila para penduduk Centrio Avenue mendedahkan Kerajaan DAP telahpun mengambil “SINKING FUND” sejumlah RM22 ribu dan memberi jaminan dengan menambah peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM124 ribu untuk melantik kontraktor dalam menyelesaikan masalah bumbung yang bocor namun masalah tersebut tidak selesai hingga ke hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya dalam isu perumahan ini, pemajulah yang sepatutnya menanggung masalah yang ada, bukan ditanggung oleh pembeli. Sikap kerajaan DAP yang dilihat hanya memberi layanan yang baik hanya kepada pemaju bukan kepada pembeli amat mengecewakan rakyat yang menanggung kesan daripada kecuaian pemaju itu sendiri.

ADUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah yang turut hadir bersama pertemuan tersebut juga menyatakan kekesalan beliau apabila melihat keadaan rumah yang teruk dan menanggung banyak kerugian sejak tahun 2015.

Beliau akan membawa isu ini ke Sidang DUN akan datang untuk membangkitkan kesedaran kepada semua Exco Kerajaan DAP terutamanya Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kerajaan Negeri dan ADUN Batu Uban yang sepatutnya bertanggungjawab mengambil perhatian sepenuhnya terhadap masalah yang telah diadukan oleh penduduk, namun, aduan tersebut tidak diambil sebarang tindakan.

Tindakan undang-undang boleh diambil oleh para penduduk Centrio Avenue untuk menuntut kembali hak mereka. Ini dinyatakan oleh Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang turut berada dalam tinjauan ke pangsapuri tersebut.

Beliau mengatakan sewajarnya hak pembeli rumah mendapat “warranty” selama dua tahun selepas pembelian rumah dilakukan. Dalam tempoh tersebut, pemaju mesti mengambil perhatian jika pembeli membuat sebarang aduan. Tetapi apa yang berlaku kini, pemaju hanya memandang enteng keseriusan masalah yang diadukan para pembeli.

Iszuree juga menekankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab COB (Commisioner of Building) di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk memastikan para pembeli mendapat hak yang sepatutnya. Adalah tidak mustahil masalah dan aduan pembeli dapat diselesaikan jika pihak COB lebih serius dalam membuat “follow up” dan prihatin dengan isu ini.

Amat mengecewakan lagi, maklumat terkini yang diperoleh daripada para penduduk, pihak pemaju dan pengurusan hanya hadir ke kediaman mereka dan melakukan “touch up” dengan menggunakan cat sahaja dan bukan melakukan “water proofing” serta baik pulih lain seperti yang diharapkan mereka.

PAS Pulau Pinang memandang serius dalam isu penduduk pangsapuri Centrio Avenue ini dan menggesa agar Kerajaan DAP dan pemaju perumahan yang diamanahkan bertanggungjawab sepenuhnya atau tindakan yang lebih serius akan dibuat.

Kebimbangan yang sewajarnya patut dirasai oleh Kerajaan DAP yang gagal menangani isu besar rakyat di Pulau Pinang yang hanya dipandang sepi sekian tahun.