Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS Pulau Pinang bantah iklan promosi judi hari raya di media sosial

181
SHARE

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pulau Pinang berasa sangat terkilan dengan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan iklan Hari Raya Aidilfitri sebagai medium untuk mempromosikan kempen judi talian baru-baru ini.

Sehubungan itu, PAS Pulau Pinang telah membuat satu laporan polis pada 19 April 2021 di Ibu Pejabat Polis Timur Laut Pulau Pinang bagi menyatakan ketegasan dan bantahan kami terhadap isu ini.

Pada masa yang sama kami juga meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memandang serius berkenaan hal ini dan mengambil tindakan tegas terhadap para pelakon, kumpulan penerbitan serta syarikat perjudian terbabit yang secara terang-terangan menghina kesucian Hari Raya Aidilfitri yang merupakan perayaan utama umat Islam di negara ini.

Selain itu kami juga turut memohon dengan tegas supaya semua iklan perjudian atas talian di dalam aplikasi media sosial seperti ‘Wechat’, ‘Whatsapp’, ‘Facebook’ dan seumpamanya turut dipantau pihak berkuasa agar tidak menjadi punca kepincangan kepada institusi keagamaan, kekeluargaan dan masa depan negara ini.

Kami juga memohon kesungguhan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar memantau aktiviti ini kerana daripada data yang kami perolehi sehingga tahun 2020 terdapat 791 buah premis judi siber di negeri ini khususnya.

PAS Pulau Pinang berharap agar tindakan tegas dapat diambil bagi membendung gejala yang tidak bermoral ini dan kami akan sentiasa kehadapan dalam isu yang melibatkan umat Islam di negara ini khususnya di Pulau Pinang.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang