Home Berita PAS Negeri Sembilan

PAS-PN sah bertanding 13 kerusi DUN PRN Negeri Sembilan

70
SHARE

Oleh NAZIRUL MUNIR

SEREMBAN, 29 Jul – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sah bertanding 13 kerusi di pilihan raya negeri (PRN) ke-15 Negeri Sembilan mewakili Perikatan Nasional.

Sehingga selepas tamat tempoh penghantaran borang penamaan calon pada jam 10 pagi tadi di Pusat Penamaan Calon, kesemua Calon PAS yang mewakili PN diluluskan pencalonan.

N02 Pertang akan ditandingi oleh Amiruddin Hassan, Mohd Nordin Hasim (N03 Sungai Lui), Mohd Fairuz Mohd Isa (N05 Serting), Kumar S Paramsivam (N08 Bahau), Mohd Fadli Che Me (N09 Lenggeng) dan Rafiei Mustapha (N18 Pilah).

Bagi N19 Johol, PAS mempertandingkan Kamarudin Md Tahir selami wakil PN, Sathesh Kumar (N23 Mambau), Kamarol Ridzuan Mohd Zain (N25 Paroi, Rozmal Malakan (N27 Rantau), Ragu Subramaniam (N30 Lukut), Abdul Fatah Zakaria (N31 Bagan Pinang) serta Tengku Abdullah Tengku Rakman (N35 Gemencheh).

Menurut Pengerusi Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebanyak 83 kertas penamaan telah dikemukakan dan terima kesemua pencalonan di PRN Negeri Sembilan.

“Perikatan Nasional bertanding di kesemua 36 kerusi, Barisan Nasional (17 kerusi), Pakatan Harapan (19 kerusi), MUDA (1 Kerusi), manakala calon bebas bertanding di 10 kerusi”, ujar beliau.

Sebanyak 27 DUN bertanding 2 penjuru, 7 DUN (3 penjuru), manakala 2 DUN mempunyai 4 penjuru pertandingan.

Menurut Abdul Ghani lagi, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus sehingga jam 11.59 malam pada 11 Ogos 2023.

“Lambang,simbol, bendera parti politik calon yang bertanding termasuklah parti komponen dibenarkan untuk dipamerkan.

“Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen pada bahan kempen”, tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Negeri Sembilan telah melalui Pilihanraya Umum ke-14 pada Mei 2018 yang lalu dan Pakatan Harapan mendapat 20 kerusi, Barisan Nasional (16), manakala PAS tidak memenangi sebarang kerusi dari 27 kerusi yang ditandingi.

PRN Negeri Sembilan diadakan setelah berlaku pembubaran DUN oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun setelah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pembubaran DUN telah diumumkan pada 1 Julai lepas.

Tarikh penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos dan tarikh keluar mengundi pada 12 Ogos.