Home Berita PAS Sarawak

PAS PETRA JAYA RAIKAN 50 AHLI BAHARU

73
SHARE

Oleh: Abdul Qayyum Ridhuan


KUCHING, 23 Mac – Sebuah majlis telah diadakan untuk meraikan penyertaan 50 orang ahli PAS secara rasmi di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sarawak di sini semalam.

Majlis serba ringkas yang diadakan ini bertujuan untuk meraikan ahli-ahli PAS yang baru di samping memperkenalkan gambaran keseluruhan parti PAS kepada mereka.

Mereka yang rata-rata telah menyertai PAS sejak Disember tahun lepas turut diperkenalkan dengan hala tuju dan pencapaian PAS Petra Jaya semalam.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kedatangan pimpinan PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Dalam ucapan beliau semalam berkata, “Program seperti ini perlu diadakan untuk memastikan ahli PAS yang baharu dapat mengenali organisasi di peringkat kawasan dan cawangan.”

Tambah beliau lagi, “Semua ahli PAS perlu menunjukkan suri teladan yang baik kepada masyarakat dan menjadi agen penyebar kebajikan. Kita semua akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Oleh itu, kita perlu bertanggungjawab atas semua perbuatan kita dalam kehidupan ini. Jadilah manusia yang bertakwa kepada Allah.”

“Keutamaan Ramadan yang datang setiap tahun adalah untuk mendidik kita supaya menjadi orang yang bertakwa,” ujar beliau memberi peringatan kepada semua ahli PAS yang hadir di majlis tersebut.

Hakimi Wasli, wakil salah seorang ahli baru berkata, “Kami diraikan bersama pimpinan-pimpinan PAS kawasan dan Pusat dalam satu majlis yang sangat santai tapi penuh bermakna.”

Dalam majlis yang sama, PAS kawasan Petra Jaya turut mengadakan majlis penyerahan sumbangan barang keperluan asas yang dilancarkan oleh Nuridah Mohd Salleh kepada golongan asnaf dalam program Semarak Kasih Ramadan.