Home Berita PAS Perlis

PAS Perlis TeruskanTradisi Kacau Bubur Asyura

1096
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi dan Najah Izzati

KANGAR : Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin adalah antara tetamu yang turut serta memeriahkan Program Jom Kacau Bubur Asyura anjuran MTD Sanglang pada 30 September 2018.

Program yang diadakan di perkarangan Surau YB Cikgu Shukri, Kuala Sungai Padang itu dihadiri lebih 200 orang, terdiri daripada para petugas MTD serta penduduk sekitar.

Menurut ADUN Sanglang, YB Mohd. Shukri Ramli, kehadiran pada tahun ini adalah yang paling ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis berkata, sebanyak 11 kawah bubur Asyura telah disediakan sepanjang hari tersebut dan diagihkan kepada para peserta serta penduduk sekitar.

Program yang sama turut diadakan oleh PAS Kawasan Padang Besar sehari sebelumnya dengan kehadiran seramai 60 orang peserta.

Seawal jam 8.30 pagi, para peserta telah berkumpul di Kompleks Tarbiyah PAS Kawasan Padang Besar (KOMTAR) bagi menyediakan sebanyak enam kawah bubur berkenaan secara bergotong-royong.

Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Besar, Hj. Kamis Yub ketika ditemui berkata, saban tahun pihaknya menganjurkan program berkenaan sebagai salah satu aktiviti PAS bersama masyarakat.

“Kehadiran penduduk setempat untuk bersama-sama dengan seluruh jawatankuasa PAS kawasan dalam aktiviti mengacau bubur ini dilihat mampu mendekatkan lagi hubungan antara PAS dengan masyarakat,” katanya.