Home Berita PAS Perlis

PAS Perlis siap sedia hadapi PRU15

333
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 24 Julai: PAS Perlis bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli, seluruh jentera parti telah diarahkan agar berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlakunya pembubaran Parlimen.

“Kita menjangkakan PRU15 akan berlaku sebelum akhir tahun ini, justeru persiapan bagi menghadapinya telah dan sedang kita laksanakan.

“Hari ini, Tuan Guru Presiden PAS (Tan Sri Dato’ Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) turut menyampaikan amanat berupa arahan-arahan yang perlu dilaksanakan oleh jentera parti di semua peringkat,” katanya selepas menghadiri program Perjumpaan Tertutup Bersama Presiden PAS di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Jelasnya lagi, PAS Perlis bersedia menerima apa sahaja keputusan parti di peringkat pusat khususnya yang berkait dengan soal bilangan kerusi dan juga calon.

“Insya Allah, apa sahaja keputusan dan arahan di peringkat PAS Pusat akan kami laksanakan demi memastikan PAS mampu mencatatkan keputusan yang lebih baik pada PRU15 nanti,” katanya.