Home Artikel PAS Sabah

PAS peduli rintihan 30 keluarga terjejas bekalan makanan

220
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
26 Mac 2020

SANDAKAN : Rintihan lebih 30 keluarga asnaf dan golongan yang terputus bekalan makanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 didengari oleh PAS apabila parti Islam tersebut tampil pagi tadi menyampaikan bantuan.

Sumbangan barang dapur seperti beras, telur, minyak dan mee itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, Yang Dipertua PAS Libaran, Abdul Waheed Mohamad dan Ketua Muslimat PAS Batu Sapi, Norlia Umar.

Mereka yang mewakili PAS Sandakan, PAS Libaran dan PAS Batu Sapi itu telah menyerahkan sumbangan di beberapa lokasi seperti Kampung Mangkalinau, Kampung Sim Sim, Kampung Gum Gum, Kampung Lupak Meluas dan lain-lain dalam daerah ini.

Kata Sahar yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Sandakan, sumbangan ini merupakan siri awal bantuan PAS kepada asnaf dan golongan yang terputus bekalan makanan.

“Kami masih mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada seluruh rakyat yang bersimpati agar kita dapat membantu lebih ramai keluarga yang terjejas ini,” ujarnya.

“Sekiranya orang ramai mahu menyumbang boleh salurkan ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan, bernombor 10043010001846 dan meletakkan perkataan ‘infak4asnaf’ sebagai rujukan,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya akan mengadakan beberapa kali lagi siri penyerahan bantuan dalam tempoh PKP ini bagi membela mereka yang kesusahan.

Sahar turut mengingatkan asnaf yang ditemui dan orang ramai untuk sentiasa mematuhi arahan kerajaan seperti duduk di rumah serta penjaraka sosial bagi membendung wabak ini lebih menular.