Oleh : Syafeeya
PARIT BUNTAR – Program Sambutan Tahun Baru Cina di sambut PAS Perak bertemakan tahun harimau mengikut kalendar lunar Cina pada tahun ini membawa pengertian keberanian, kompetitif, berkeyakinan tinggi dan dinamik.
Program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Negeri Perak bersama LPN PAS Parit Buntar dihadiri lebih 120 orang berlangsung dalam suasana harmoni dan sangat meriah di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Kerian Permai, Parit Buntar baru-baru ini.
Acara penyampaian kotak kebajikan dan sumbangan ‘ang pau’, ‘Yee Sang’ serta persembahan tarian naga menambahkan keceriaan program yang disaksikan masyatakat kaum Tionghua tempatan.
Exco Kerajaan Negeri Perak yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, YB Hj Razman Zakaria dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa PAS sentiasa terbuka dan bersungguh-sungguh dalam mendekati masyarakat bukan Islam keranan ianya tuntutan agama.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Halimah Ali ketika berucap turut mengajak semua pihak agar menolak tohmahan tidak berasas terhadap PAS sebaliknya bersama-sama memahami perjuangan PAS.
“Jangan takut dengan PAS. Marilah kita hidup dalam suasana harmoni, saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan Islam mengajar kita bertolak -ansur antara satu sama lain dan kita adalah keluarga”, pesan Dr Halimah untuk semua.
Dalam pada itu kehadiran Pengerusi Parti Gerakan Perak, Datuk Chee Thean Seng dan Pengerusi Gerakan Parit Buntar serta Ketua DHPP Perak, Suria Narayanan menambah keyakinan kaum Tionghua terhadap PAS dan parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Malah pimpinan PN Perak tersebut juga menyatakan keyakinan bahawa kemenangan mampu dicapai jika masyarakat majmuk dapat bersatu dan hidup dalam harmoni dan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain.
Turut hadir Pengerusi LPN PAS Perak, Ustaz Azmi Murad Mohd Yusof, Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Abdul Baharin Mat Desa dan Naib Yang Dipertua, Haji Azhar Shahrin dan pimpinan dewan pemuda, muslimat dan lainnya.