PAS PAHANG MENYOKONG TINDAKAN TEGAS DAN KOMITMEN KERAJAAN UNTUK BERTINDAK KEATAS PENCEROBOH TANAH HARAM.
Susulan dari isu pencerobohan tanah haram di Raub ketika ini, PAS Pahang menyokong penuh kenyataan YAB Menteri Besar Pahang untuk bertindak tegas dan komitmen terhadap pekebun-pekebun ‘Musang King’ yang diusahakan secara haram kerana keadaan ini adalah sesuatu yang bakal sedikit demi sedikit menjadikan Pahang semakin berkemelut dengan isu tanah.
Ketegasan dan komitmen ini samasekali tidak bermaksud untuk bertindak zalim keatas pekebun-pekebun yang meneroka secara haram, namun ia adalah satu didikan kepada rakyat di Pahang agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah termaktub, tidak mengira status bangsa dan kedudukan mereka bersesuaian dengan Negeri Pahang yang juga memiliki penduduk majmuk.
PAS Pahang berpandangan isu ini adalah isu Negeri dan ianya mesti diselesaikan secara undang-undang dan mesti kelihatan adil kepada semua pihak apatah lagi isu ini adalah isu yang berlarutan sejak lama dan melibatkan semua kaum, namun isu ini sepertinya dimainkan oleh setengah pihak dengan elemen perkauman, oleh itu PAS meminta isu ini mestilah diselesaikan dengan tidak sedikitpun melibatkan elemen perkauman.
Umum mengetahui bahawa sebelum ini Kerajaan pernah bertindak terhadap pekebun haram melibatkan semua bangsa dengan menggunakan agensi berwajib pihak kerajaan, kerana itulah juga didalam isu ini PAS Pahang meminta supaya semua berkuasa dan agensi terbabit pihak kerajaan memainkan peranan didalam isu ini seperti UPNP, PSK, PKPP, PDT, PDRM malahan SPRM sekalipun untuk membuat tindakan dan siasatan jika berlakunya rasuah didalam isu ini.
Rakyat sedang memerhati dan menilai kewibawaan Kerajaan Negeri ketika ini, PAS Pahang melihat rundingan antara Kerajaan dan Pekebun mesti perolehi keputusan yang bersifat ‘menang memang’, bukan sahaja kepada pekebun Musang King tapi juga kepada pekebun pertanian lain, bukan sahaja kepada tindakan yang akan datang tapi juga kepada tindakan sebelum ini yang akan menjadi ‘timbang tara’ rakyat terhadap keputusan Kerajaan Negeri, maka undang-undang dan peraturan mesti menjadi menjadi dasar untuk berlaku adil kepada sesiapa pun, maka Kerajaan mesti bersikap tegas dengan undang-undang dan peraturan yang sedia ada.
Disamping itu pihak PAS juga meminta agar pihak Kerajaan juga menoleh kearah isu lain berkaitan tanah, seperti kelulusan tanah yang sekian lama dipohon, pembukaan tanah kelompok terutama kepada generasi baru rakyat Pahang dan berbagai-bagai lagi isu berkaitan tanah kerana ianya menjadi isu berkait.
PAS Pahang berharap agar isu ini segera diselesaikan secepat mungkin dan diuruskan secara bijaksana oleh pihak kerajaan Negeri dan PAS Pahang sekali lagi bertegas menyokong Pihak Kerajaan membuat pemutihan dan penegasan terhadap sebarang aktiviti pertanian secara haram di Negeri Pahang, jika tidak dibendung segera, pencerobohan tanah secara haram pasti akan semakin rancak, bukan sahaja di Raub, malahan seluruh tanah Pahang.
YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
PESURUHJAYA PAS PAHANG.