Home Berita PAS Pahang

PAS Pahang l Harapan miliki rumah Felda tidak kesampaian

1162
SHARE
SUNGAI LEMBING: Harapan pemilik 340 rumah generasi kedua FELDA Bukit Sagu untuk memiliki rumah tidak kesampaian apabila projek yang dimulakan pada Disember 2013 terbengkalai dari disiapkan.
Penyelaras PAS Dun Sungai Lembing, Ustaz Mohammad Hazmi Dibok berkata, projek yang sepatutnya siap pada Disember 2014 itu menunjukkan FELDA gagal dalam membela nasib generasi keduanya.
“Hanya empat rumah contoh sahaja berjaya dibina sejak 2013, selebihnya gagal disiapkan. Yang ada hanya tiang-tiang dan binaan asas sahaja,” bidas beliau mengulas isu tersebut hari ini.
PAS katanya lagi, melihat bahawa perkara itu bukan sahaja mengecewakan anak-anak peneroka, tetapi ianya mencerminkan kelemahan FELDA dalam menunaikan janji dan amanah kepada peneroka.
Beliau turut menyebut bahawa, kesan dari projek terbengkalai itu mengakibatkan FELDA menanggung kerugian apabila bahan binaan rosak dan dicuri.
Ustaz Hazmi juga mendapati, tapak pembinaan yang terbiar itu turut menjadi punca kepada masalah sosial apabila ia menjadi sarang penagihan dadah, lepak dan kegiatan maksiat.
Malah ujar Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang itu,  perkara tersebut juga mendedahkan penduduk setempat kepada risiko penyebaran demam denggi yang meningkat di situ. – HARAKAHDAILY 15/1/2018