Home Artikel PAS Sabah

PAS Menyokong Penuh Usaha Menyelesaikan Masalah Setinggan dan Perumahan Rakyat.

296 views
SHARE

Oleh : Mustaman Mustain
25 Mei 2018

SANDAKAN : Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri yang mahu menyelesaikan masalah setinggan dan perumahan rakyat di negeri ini.

Beliau juga berharap agar kerajaan negeri dapat menyusun semula penempatan di kawasan setinggan sekaligus memberikan geran berkelompok atau geran kampung kepada rakyat agar mereka tidak lagi tinggal di kawasan tanpa status jelas.

“Kerajaan juga perlu memperbaiki infrastruktur di kampung-kampung tersebut sekaligus dapat menaik taraf perkampungan atas air ini menjadi pusat tarikan pelancongan baru seperti negara Brunei,” tambah Sahar.

Beliau berkata demikian di sini semalam ketika diminta mengulas kenyataan akhbar yang menyatakan bahawa Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong yang mahu fokus kepada isu pemilikan rumah dan perumahan setinggan.

Sahar yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Sandakan turut mencadangkan agar diwujudkam perumahan rakyat mampu milik dengan harga berpatutan.

Jelasnya, kerajaan negeri perlu mengkaji semula harga rumah ketika ini yang begitu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat.

“Semua ini memerlukan satu mekanisma penyelarasan harga rumah oleh kerajaan agar pihak pemaju tidak sesuka hati menaikkan harga rumah termasuk perkara berkaitan harga bahan binaan dan harga tanah untuk tujuan perumahan,” tambahnya.

Sahar turut mencadangkan agar kerajaan negeri membina lebih banyak rumah PPR yang diagihkan secara adil kepada rakyat berkelayakan tanpa prosedur yang membebankan.

“Sebaiknya rumah PPR itu dimiliki dengan berkonsepkan “sewa beli” dengan kadar yang tidak membebankan agar akhirnya rumah ini menjadi milik rakyat tidak seperti hari ini apabila mereka tiada peluang sedemikian,” ujarnya lagi.