Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan (Siri 08/1439H)

101 views
SHARE

Al-An’am 151-152: Beberapa Perintah & Larangan

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ (١٥١)

Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang haq”. Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya).

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۖ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۖ وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۖ وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (١٥٢)

Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, walaupun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.

📖 Tafsir ringkas:

Ayat-ayat ini mengandungi perintah dan larangan Allah SWT tentang beberapa perkara:

1. Larangan mempersekutukan Allah.

2. Perintah menghormati ibubapa. Bakti kepada mereka membawa pada keberkatan dalam kehidupan.

3. Larangan membunuh anak kerana takutkan kemiskinan, sebab anak adalah keturunan yang akan menyambung sehingga nama kita tidak akan hilang begitu saja.

4. Larangan mendekati zina, sebab zina merosakkan diri dan keturunan serta menjatuhkan nilai manusia seumpama binatang.

5. Larangan membunuh satu jiwa (sama ada membunuh orang ataupun membunuh diri sendiri) kecuali dengan hak. Disebut di sini “kecuali dengan hak”, iaitu mencabut nyawa seseorang hanya dibolehkan jika ada hak seperti hak individu untuk mempertahankan diri atau hak hakim menjatuhkan hukuman bunuh kerana jenayah yang dilakukannya.

6. Larangan memakan harta anak yatim melainkan dengan tujuan untuk mengurusnya dengan cara yang baik, sehingga dia sampai umur.

7. Larangan menipu dalam sukatan dan timbangan. Namun, di hujung ayat dikatakan bahawa Allah tidaklah memberati seseorang melainkan dengan kemampuan dirinya. Ini adalah kerana di dalam menyukat atau menimbang itu, walaupun sudah dibuat dengan teliti, barangkali akan terjadi juga sedikit kekurangan, dengan tidak sengaja. Itu dimaafkan.

8. Perintah berkata yang benar dan adil walaupun ia tidak memihak kepada kepentigan kita dan keluarga kita.

🎀 Pengajaran

1. Binalah peribadi dan jiwa dengan asas aqidah dan tauhid. Ia adalah sendi hubungan antara manusia dan penciptanya. Apa sahaja pekerjaan, amalan dan bentuk perjuangan mestilah berdasarkan ruh tauhid dan menjauhi unsur-unsur kesyirikan yang meletakkan ada kekuasaan dan kepentingan lain di samping Allah SWT.

2. Kita perlu menyedari bahawa segala perintah atau larangan Allah ini tidak cukup jika hanya menjadi pegangan “agama peribadi” yang hanya bergantung pada amalan beragama secara persendirian. Rangkaian pedoman daripada ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa di bawah panji tauhid, kita hendaklah mendirikan masyarakat yang adil dan makmur berdasarkan syariat Allah ( hablum minna Allah dan hablum minannas ).

3. Santunilah ibu bapa dengan sebaik-baiknya selagi mereka masih ada. Jika mereka telah meninggal dunia, teruskan doa dan amal soleh kita sebagai anak agar menjadi talian yang tak terputus untuk mereka di alam barzakh.

4. Jagalah hubungan sesama manusia. Eratkan ukhuwwah dan teguhkan perpaduan. Tunaikan hak sesama manusia walau apa pun status mereka. Elakkan pergaduhan, persengkataan apalagi pembunuhan dan peperangan.

5. Berlakulah adil dan rasional. Perkara yang benar itu tetap benar walaupun datang daripada pihak musuh. Manakala perkara batil itu tetaplah batil meskipun datang dari kawan. Rujuklah al-Quran selalu untuk merungkai sebarang kekeliruan .

📚 Rujukan:
Tafsir Al-Azhar Juzuk 8

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
8 Ramadhan 1439 / 24 Mei 2018