Home Kenyataan Media Presiden PAS

PAS Menyeru Ke Arah Memperkukuhkan Perpaduan Rakyat

616
SHARE


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

PAS MENYERU KE ARAH MEMPERKUKUHKAN PERPADUAN RAKYAT


Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat telah diadakan pada hari ini, Ahad 1 Mac 2020 di Pejabat Agung PAS bagi membincangkan perkembangan semasa politik negara. Justeru PAS telah mengambil beberapa ketetapan seperti berikut:

1. PAS mendukung sepenuhnya kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8, yang telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini.

2. PAS mengharapkan Kerajaan Persekutuan mengutamakan agenda memulihkan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan, dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya menjaga prinsip Federalisma dengan Negeri-Negeri.

3. PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk dan menyarankan Kerajaan untuk berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

4. PAS turut mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam, pasukan keselamatan, pemimpin masyarakat, rakan media dan rakyat keseluruhan yang dapat menjaga dan mengekalkan keamanan negara.

Sekian, terima kasih.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Rajab 1441 / 1 Mac 2020