Home Berita PAS Perak

PAS Lumut serah katil, jayakan misi bantuan

49
SHARE

PAS Lumut serah katil, jayakan misi bantuan
Oleh : Nizam PSJ

LUMUT, PAS Kawasan Lumut turun padang meninjau keadaan masyarakat yang memerlukan bantuan ketika berhadapan pandemik COVID-19 di sekitar Manjung di sini, hari ini.

Misi bantuan pada kali ini diketuai Ahli Majlis Perbandaran Manjung yang juga YDP PAS Lumut, Rosli Abd Rahman menyantuni lima keluarga yang dikenalpasti berkelayakan.

“Sungguh tersentuh hati apabila bertemu sebuah keluarga di Fasa 2A yang sudah setahun dikhabarkan tidak dapat berniaga kerana
menjaga kedua orang tuanya bersama kedua mertuanya yang telah uzur.

“Bantuan yang termampu dihulurkan berupa katil diberikan untuk kegunaan ayah beliau,” ujar Pengerusi Lajnah Kebajikan, Zaharah Husin ketika ditemui selepas selesai ziarah prihatin.

Jelasnya lagi, salah seorang anak perempuannya juga ketika ini memerlukan rutin rawatan hospital yang berterusan dan sudah pasti banyak kewangan diperlukan.

Sebelum itu, rombongan turun menziarahi seorang pesakit yang lumpuh akibat penyakit kencing manis dan lemah saraf di Kampung Dato Seri Kamaruddin hasil maklumat masyarakat setempat.

Misi bantuan PAS Kawasan Lumut turut ke rumah seorang bekas pemandu teksi yang terlantar akibat strok dan menyewa sebuah kediaman di Fasa 1E bersama empat orang anak.

Turut menyertai rombongan, Setiausaha PAS, Hamidun Ahmad dan aktivis PAS, Raai Yusuf juga berkesempatan menziarahi sebuah keluarga bekas pemandu bas yang tinggal di rumah kedai, Manjung Fasa 1C1.

Jelas Zaharah lagi, kesemuanya penerima diberikan kotak makanan dan wang saguhati daripada PAS Kawasan Lumut yang mana sebahagiannya disumbang ahli PAS dan orang ramai.