Home Artikel PAS Perak

PAS Lenggong Catat Sejarah

3,187 views
SHARE

Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Program Sambutan 67 Tahun PAS peringkat kawasan yang diadakan di Surau Abna Zakaria, di Dataran Jambatan Sungai Perak, Kampung Luat dekat sini baru-baru ini, telah mencatat sejarah apabila empat wakil rakyat daripada dua parti pembangkang berbeza fahaman politik berjaya duduk sepentas.

Keempat-empat wakil rakyat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Gunung Semanggol, Haji Razman Zakaria, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, ADUN Kota Tampan, Datuk Shaarani Mohamad dan ADUN Kenering, Toh Shahbandar Hulu, Tarmizi Idris.

Haji Razman daripada PAS, manakala Datuk Dr Shamsul Anuar, Datuk Shaarani dan Toh Shahbandar Hulu, Tarmizi mewakili Barisan Nasional.

Lebih menarik, Haji Razman selaku Bendahari PAS Pusat adalah Pesuruhjaya PAS Perak, menjadi tuan rumah menerima Datuk Shaarani yang memimpin Umno negeri.

Pertemuan di atas pentas PAS itu juga, mencatat sejarah tersendiri kerana Haji Razman dan Datuk Dr Shamsul Anuar yang ada kaitan persaudaraan adalah anak kampung tempat program itu diadakan.

Program menghimpunkan pemimpin-pemimpin berbeza fahaman politik yang sejak sekian lama ‘berkelahi’ itu, sangat terkesan di hati ahli-ahli serta para penyokong kedua-dua parti, lebih-lebih lagi penduduk Kampung Luat.

Haji Razman ketika ditemui selepas program itu, berkata kehadiran ketiga-tiga wakil rakyat Umno dan kesudian mereka untuk berada sepentas dengan kita sangat-sangat dihargai.

Katanya, dengan kehadiran pemimpin-pemimpin, kita lihat ahli-ahli dan para penyokong Umno juga datang beramai-ramai ke program itu, walaupun program itu program sambutan ke-67 PAS.

“Memang kita jemput dan dengan kehadiran mereka, mereka dapat dengar penerangan mengenai dasar perjuangan kita, tujuan PAS ditubuhkan.
“Ketika kita menyanyikan lagu Tema PAS, mereka turut berdiri dan dapat menghayati senikata lagu itu,” katanya.

Beliau berkata, tujuan penubuhan PAS pun adalah untuk berdakwah, untuk menegakkan makruf dan mencegah mungkar dan PAS berharap tidak ada lagi anggapan ada ‘sekatan’ untuk mereka hadir ke program-program PAS selepas ini.
Program yang turut dihadiri Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perak, Abd Qahar Syams itu dimulai dengan solat Maghrib berjamaah, bacaan Yasiin serta tahlil dan solat Isyak berjamaah.

Abd Qahar ketika menyampaikan ceramahnya, mengulas secara ringkas nengenai perlembagaan dan tujuan PAS ditubuhkan serta menyingkap susur galur jatuh bangun perjuangan parti selama 67 tahun sejak ditubuhkan pada 1951.

Sementara itu, Datuk Shaarani dalam ucapannya, berkata Umno Lenggong sangat-sangat menghargai jemputan untuk bersama dalam program sambutan ulang tahun ke-67 PAS peringkat kawasan.

Katanya, selepas dimaklumkan melalui WhatsApp mengenai jemputan bersurat secara rasmi oleh pegawai di pejabatnya, beliau terus menghubungi Datuk Dr Shamsul Anuar dan Toh Shahbandar Hulu, Tarmizi.

Beliau yang sepatutnya perlu berada di Ipoh malam itu untuk bersama dalam satu majlis, meminta supaya program berkenaan ditangguhkan kerana mahu memenuhi jemputan PAS.

Katanya, sejak sekian lama Umno dan PAS berkelahi, tetapi apabila ada sesuatu isu yang menyentuh kepentingan Islam, kita bangkit bersama dan kita sering berdoa supaya Allah satukan hati-hati kita.

“Setiap kali ada sesuatu isu yang perlukan penyatuan ummah, kita berdoa supaya Allah satukan hati-hati kita dan akhirnya doa kita telah diperkenankan,” katanya.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), Umno (BN) ditakdirkan tidak lagi memerintah dan telah sama-sama menjadi pembangkang bersama PAS.

Setelah tidak menjadi pemerintah, katanya Ketua Hakim Negara, Peguam Negara tidak lagi dari kalangan Islam dan seterusnya timbul isu-isu yang sangat membimbangkan umat Islam di negara ini, termasuk isu ICERD.

Semuanya itu menuntut umat Islam, orang Melayu bersatu demi Agama, bangsa dan tanahair, katanya.


Pada program itu juga, 10 tokoh yang sangat berjasa dengan PAS di peringkat kawasan telah menerima anugerah yang disampaikan oleh Haji Razman yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong.

Tamat.