Home Artikel PAS Wilayah

PAS Lembah Pantai Teruskan Agenda Berkebajikan

211 views
SHARE

LEMBAH PANTAI, 15 April – Agenda berkebajikan PAS kepada rakyat terus disuburkan dengan penganjuran Mini Karnival Keluarga Bahagia bertempat di Dewan Terbuka Taman Bukit Angkasa di bawah anjuran Dewan Muslimat PAS kawasan dengan kerjasama PAS Kawasan Lembah Pantai.

Pelbagai aktiviti menarik telah disajikan kepada pengunjung yang hadir. Antaranya ialah pemeriksaan kesihatan percuma, jualan amal, khidmat Darussyifa, flea market, persembahan busking dan khidmat nasihat guaman percuma.

Di samping meraikan keperluan masyarakat, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan mewarna pelbagai kategori termasuk kategori berpasangan dan berkeluarga yang sekaligus menampilkan ruang merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

Menurut salah seorang penduduk yang ditemui, beliau merasa amat teruja dengan penganjuran program ini.

“Saya melihat program ini amat menarik kerana aktiviti-aktiviti yang disusun menepati kehendak pengunjung,” ujar beliau.

Majlis penutup mini karnival ini dirasmikan oleh LAr Haji Fauzi bin Abu Bakar yang merupakan aktivis dan tokoh masyarakat yang tidak asing lagi di Lembah Pantai serta merupakan salah seorang pimpinan PAS kawasan.

Dalam ucapan perasmian, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Taman Bukit Angkasa yang hadir bagi sama-sama memeriahkan Karnival Keluarga bahagia ini dan tahniah kepada pihak penganjur atas penganjuran program yang bermanfaat ini.

Selain itu, beliau sempat memberikan sedikit penerangan ringkas berkenaan manisfesto PAS kepada semua sekiranya diberi mandat untuk memerintah selepas PRU 14 dan ternyata mendapat reaksi yang positif dari semua hadirin yang hadir ke program tersebut.

“Saya menyeru semua agar meneliti tawaran yang dibawa oleh PAS dan membuat pilihan secara bijak. Kita cuba menyediakan solusi yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang membelenggu negara ini,” ujar beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau sempat mengingatkan kepada semua bahwa negara memerlukan pemimpin yang adil dan berkarisma dalam usaha mewujudkan Malaysia yang sejahtera.

Dalam masa sama beliau sempat memberikan sedikit sumbangan kepada beberapa golongan asnaf yang kurang berkemampuan di kawasan Taman Bukit Angkasa sedikit sebanyak dengan harapan dapat mengurangkan bebanan hidup mereka.