Home Selangor

PAS KLANG | ” Siapakah Pengganas Yang Sebenar ? “

954
SHARE

SIAPAKAH PENGGANAS YANG SEBENAR?

Tuduhan kononnya umat dan gerakan Islam sebagai pengganas semakin rancak dilemparkan. Terkadang sukar ditepis, kerana ia adalah kempen bersepadu di peringkat antarabangsa yang ditaja oleh Amerika.

Definisi.

Selain istilah pengganas, ia juga dijenamakan dengan terroris dan irhabi. Di dalam Mu’jam Wasit, pengganas bermaksud golongan yang mengaplikasikan tindakan yang ganas demi meraih matlamat politiknya.

Menurut Kamus Politik Semasa (al-Mausu’ah al-Siyasiyyah al-Mu’asirah), aksi terrorisme merujuk kepada tindakan kekerasan yang terkeluar dari lunas undang-undang. Mengandungi motif provokasi dan permusuhan. Istilah ini juga merujuk kepada tindakan kekerasan ke atas golongan yang tidak berdosa atau usaha menentang dengan cara kekerasan terhadap kerajaan yang sah.

Umat Islam Adalah Mangsa Islamphobia.

Jika kita meneliti permainan propaganda Islamphobia, Amerika dan sekutunya kerap melaung-laungkan slogan anti keganasan. Kemudian terus mewartakan siapakah pengganas yang mereka maksudkan, tanpa memperincikan apakah sebenarnya definisi, sifat dan kriteria pengganas.

Yang mereka tahu, Islam dan rangkaian umat Islam adalah pengganas. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan doktrin ini, akan turut dituduh sebagai pengganas. Nampaknya ugutan ini berjaya.

Sehinggakan dunia turut terikut menjadi buta lantas menghukum Islam, umat dan gerakannya sebagai pengganas.

Penganut Islamphobia tajaan Barat berterusan buta untuk membicarakan siapa yang terbunuh, negara mana yang diceroboh penjajah dan hasil bumi siapa yang dirompak. Sedangkan melalui persoalan-persoalan itu akan menjawab siapa pengganas yang sebenarnya.

Sejak 1983.

Pada tahun tersebut Bernard Lewis yang berkhidmat sebagai arkitek projek pemetaan semula Timur Tengah di Pentagon telah membentangkan perancangan tersebut di peringkat kongres.

Agenda ini demi menjamin keselamatan Israel dan melemahkan potensi negara-negara umat Islam di sekelilingnya. Seterusnya negara-negara umat Islam dipecah-pecahkan bermodalkan konflik bangsa, mazhab dan perkelahian antara rakyat.

Bukan kebetulan, pada tahun 1983 juga Amerika telah mewar-warkan kononnya wujud ancaman rangkaian pengganas. Ini semua demi meraih keizinan dunia untuk Amerika melakukan apa sahaja atas alasan, melindungi diri dari ancaman pengganas.

Kempen tersebut digandakan terutamanya selepas peristiwa 11 September 2001. Selepas itu satu persatu negara umat Islam yang kaya dengan hasil bumi dan terletak di lokasi yang strategik, diceroboh oleh Amerika sewenang-wenangnya.

Hantu Raya.

Demi menjayakan Islamphobia, Amerika membiayai operasi-operasi keganasan berupa letupan dan serangan lantas media terus memberitakan kononnya itu adalah kerja orang Islam.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menceritakan, sejak pencerobohan Amerika ke atas Iraq, mendidihnya sentimen perkelahian Sunni dan Syiah. Antaranya dengan askar Amerika menahan kenderaan yang dalam perjalanan menuju penempatan Sunni atau Syiah. Mereka memasang bom secara curi-curi di kenderaan yang ditahan. Apabila meletup, maka media mengkhabarkan kononnya Sunni bom penempatan Syiah dan Syiah bom penempatan Sunni. Betapa mazhab dimanipulasi untuk meraih agenda mereka.

Operasi-operasi seumpama ini diaktifkan sebelum perkara-perkara baharu yang menjadi asas provokasi diusulkan.

Amerika ibarat bomoh cari makan dengan menyuruh hantu rayanya untuk membuat kacau di dalam kampung. Apabila orang kampung ketakutan, mereka akan mengadu kepada bomoh. Bomoh memperolehi pendapatan lumayan, sekaligus dia akan dinobatkan sebagai penyelamat kampung.

Israel Tetap Selamat.

Jika kita perasan, segala konflik yang diada-adakan serta kempen Islamphobia hanya menempatkan Israel dalam keadaan yang bertambah selesa.

Duta-duta kempen Islamphobia samada yang berpakaian barat atau berperwatakan sarjana Islam tetapi berotak Barat, semua mereka konsisten menyalahkan umat dan gerakan Islam. Pada masa yang sama cukup ‘pemalu’ menyelar Israel, tidak seperti tajamnya lidah mereka menyelar umat dan gerakan Islam.

Deal Of The Century.

Itulah kaitan di sebalik serangan ke atas Masjid Raudhah di Arisy, Utara Sinai, Mesir. Malangnya ramai yang masih lagi buta mengkaitkan tragedi tersebut sedangkal konflik mazhab dan seperti rutinnya, Ikhwan Muslimin dituduh sebagai dalang.

Agenda pemetaan semula antara negara-negara Arab iaitu Mesir, Saudi & Jordan bersama Israel sedang rancak dijalankan. Didorong cita-cita meluaskan Israel (Israel Raya), mereka merancang agar penduduk Gaza dipindahkan ke Sinai. Bermakna Israel semakin luas. Sementara itu Jordan memperolehi sebahagian dari Tebing Barat dan Israel mengekalkan taklukannya di sebahagian lain dari kawasan Tebing Barat. Banyak lagi pertemuan-pertemuan sulit antara negara-negara Arab dengan Israel yang masih belum tersingkap perancangannya. Dikhabarkan projek ini mengambil tempoh 8 tahun untuk dijayakan.

Amerika & Zionis Adalah Pengganas Sebenar.

Jika kita mengamati senario dunia hari ini dengan kekacauan yang diada-adakan, pasti akan menampakkan Amerika & Zionis merupakan aktor utama kepada terrorisme.

Siapa yang menyerang dan siapa yang diserang?

Siapa yang membunuh dan siapa yang terbunuh?

Negara mana yang menceroboh dan negara mana yang diceroboh?

Pihak mana yang dinafikan hak dan dikenakan tindakan ganas tanpa pengadilan?

Soalan-soalan tersebut barangkali boleh mencelikkan mata kita, siapakah sebenarnya pengganas. Yang pasti, umat Islam bukan pengganas. Sebaliknya mereka adalah sebenar-benar mangsa keganasan kuasa besar.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
2 Disember 2017.