Home Berita PAS Selangor

PAS KLANG | “IBRAH AL KAHFI : “Bankrup Akhirat”

1304
SHARE


IBRAH AL-KAHFI: BANKRUP AKHIRAT.

Allah telah mengingatkan kita, agar jangan jadi golongan yang bankrup di akhirat. Firmannya:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا • الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا•
“Katakanlah (wahai Muhammad) apakah mahu kami khabarkan kepada kamu berkenaan golongan yang paling rugi amalannya? • Mereka itulah yang sia-sia amalannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka menyangka mereka telah beramal sehabis baik” – al-Kahfi 103-104.

Syarat Amal Diterima.

Islam telah menetapkan 2 syarat agar amalan diterima:

• Ikhlas.
• Bertepatan dengan syara’.

Sebarang amalan yang baik tidak diterima oleh Allah sekiranya dibuat secara tidak ikhlas. Begitu juga jika amalan yang dibuat secara penuh ikhlas, tetapi bercanggah dengan syara’ maka tetap tidak diterima oleh Allah. Ikhlas dan bertepatan dengan syara’ merupakan syarat mandatori yang telah ditetapkan oleh Islam.

Zaman Pencemaran Niat & Wabak Kejahilan.

Di ambang berlakunya kiamat, manusia berdepan dengan masalah niat dan kejahilan terhadap syara’. Lantas merugikan amal mereka yang telah dirasakan banyak.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi menafsirkan ayat di atas dengan fenomena:

“Kita melihat golongan kuffar melakukan amal kebajikan. Mereka bina hospital, sekolah dan badan kebajikan. Mereka menyeru ke arah hak persamaan yang dilihat baik. Dengan itu mereka menyangka semuanya adalah saham kebajikan. Akan tetapi apakah semua itu diterima oleh Allah?

Begitu juga senario orang yang beramal, berkhidmat dengan manusia semata-mata mahukan populariti. Kononnya mahu diingati sejarah mereka”

Peliharalah Amalan.

Kerap kali perbuatan yang salah dipertahankan dengan alasan kononnya ia berniat baik. Sikap seperti ini hanya mengekalkan seseorang di dalam perangkap kejahilan. Selesa berterusan melakukan amal yang salah.

Begitu juga mereka yang culas memelihara niat. Menganggap soal niat bukanlah isu yang penting dalam beragama. Apatah lagi zaman media langit terbuka hari ini. Apabila segala amal kebajikan mahu diwar-warkan akhirnya melahirkan golongan yang mengalami ketagihan sanjungan orang. Maka lenyaplah ruang eksklusif beramal antara dirinya dengan Allah.

Penat Namun Sia-sia.

Inilah ingatan Allah kepada kita umat akhir zaman, agar konsisten memelihara keikhlasan dan cermat memastikan segala amalan kita bertepatan dengan syara’. Apabila 2 syarat ini tidak dicermati, dibimbangi kita hanya penat di dunia tetapi sia-sia bankrup di akhirat.

Abdul Mu’izz Muhammad
22 Disember 2017.