Home Artikel PAS Selangor

PAS KLANG | “Demi Survival Politik, Heraclius Menolak Nabi”

3200
SHARE

DEMI SURVIVAL POLITIK, HERACLIUS MENOLAK NABI.

Heraclius merupakan Maharaja Rom Timur yang pernah menguasai Baitul Maqdis. Beliau seorang penganut Kristian yang tegar mengkaji berkaitan munculnya Nabi Akhir Zaman. Penganut-penganut Kristian Ortodoks ketika itu berazam untuk beriman dengan Nabi Akhir Zaman. Ia sebagai memenuhi wasiat Nabi Isa yang mereka sanjungi.

Tibanya Seruan Iman.

Nabi telah mengutuskan surat da’wah kepada Heraclius selaku Maharaja Rom agar beriman. Penegasan jelas tertulis:

“Islamlah kamu, kamu pasti selamat” – hr Bukhari & Muslim.

Heraclius memandang ia sebagai mesej yang cukup serius. Lantas beliau mula menyiasat karakter dan keperibadian baginda Nabi, samada selari atau tidak dengan maklumat dari kitab-kitab lama.

Soal Jawab

Heraclius cuba mendapatkan maklumat berkaitan Nabi dari orang-orang Arab yang lalu berdagang ke Syam. Beliau mencari siapa yang paling hampir keturunannya dengan Nabi untuk disoal siasat. Maka Abu Sufyan dipanggil. Lalu berlakulah dialog yang menggambarkan bertapa mendalamnya kajian Heraclius terhadap ciri-ciri kenabian yang ada pada Nabi.

Heraclius: “Apakah hubungan kamu dengan Muhammad?”

Abu Sufyan: “Dia mempunyai hubungan kekeluargaan denganku”

Heraclius: “Apakah sebelum ini sudah ada orang yang membawa da’wah seumpamanya kepada kamu?”

Abu Sufyan: “Tidak. Kami bangsa Arab tiada sejarah kenabian”

Heraclius: “Adakah keturunannya ada yang pernah menjadi raja?”

Abu Sufyan: “Tidak”

Heraclius: “Adakah pengikutnya di kalangan orang ternama atau sekadar golongan yang lekeh?”

Abu Sufyan: “Bahkan pengikutnya di kalangan golongan yang lekeh”

Heraclius: “Pengikutnya semakin bertambah atau berkurang?”

Abu Sufyan: “Bahkan semakin bertambah”

Heraclius: “Adakah setelah mereka memeluk Islam, ada yang murtad?”

Abu Sufyan: “Tidak. Tiada di kalangan mereka yang murtad”

Heraclius: “Adakah kamu menuduh dia berbohong sebelum dia bercakap?”

Abu Sufyan: “Tidak”

Heraclius: “Adakah dia mengingkari janji?”

Abu Sufyan: “Tidak. Setakat ini kami telah memetrai perjanjian (Hudaibiyyah) dan aku tidak tahu samada dia menepati janji atau tidak”

Heraclius: “Adakah kamu memeranginya?”

Abu Sufyan: “Ya”

Heraclius: “Bagaimana senario peperangan?”

Abu Sufyan: “Perang antara kami setara. Adakala dia menang, ada kala kami menang”

Heraclius: “Apakah seruannya?”

Abu Sufyan: “Dia menyeru agar abdikanlah diri kepada Allah. Jangan berlaku syirik kepada Allah dengan sesuatu pun. Tinggalkanlah ajaran nenek moyang. Dia menyuruh kami solat, berlaku benar, bermaafan dan menyambung persaudaraan”

Muhammad Adalah Nabi Yang Dijanjikan!

Dari soal jawab tersebut, Heraclius pantas membuat kesimpulan bahawa Muhammad adalah sosok yang mereka nanti-nantikan selama ini. Heraclius berkata:

“Aku bertanya hubungan kamu dengan dia. Kamu jawab dia dari keturunan kamu. Demikianlah rasul diutuskan di kalangan kaumnya. Aku bertanya adakah sebelum ini sudah ada yang berda’wah seumpama dia? Kamu jawab tidak. Justeru kamu tidak boleh kata dia berkata bermodalkan kalam orang terdahulu. Aku bertanya adakah dia berketurunan raja? Kamu jawab tidak. Jika dia berketurunan raja, sudah pasti aku boleh tuduh dia hanyalah mahu mendapatkan kembali takhta keturunannya. Aku bertanya adakah kamu pernah menuduh dia berbohong sebelum ini? Kamu jawab tidak. Setahu aku orang yang tidak sanggup menipu manusia, dia lagi tidak sanggup menipu Allah. Aku bertanya pengikutnya di kalangan siapa? Kamu jawab hanyalah golongan yang lekeh. Itulah pengikut setia para rasul! Aku bertanya adakah mereka bertambah atau berkurang? Kamu jawab sentiasa bertambah. Itulah tabiat ajaran iman yang sentiasa bertambah hinggalah sempurna. Aku bertanya adakah ada pengikutnya yang murtad? Kamu jawab tiada. Demikianlah iman setelah sebati dengan hati. Aku bertanya adakah dia membelot? Kamu jawab tidak. Itulah Nabi yang tidak akan mungkir janji. Aku bertanya apakah seruannya? Kamu jawab dia menyeru agar mengabdikan diri kepada Allah. Jangan berlaku syirik. Dia tegah kamu dari menyembah berhala. Dia menyuruh kamu agar solat, bersikap benar, memaafkan dan menyambung persaudaraan”

“Jika segala jawapan kamu (Abu Sufyan) benar belaka, ketahuilah dia (Nabi Muhammad) akan menguasai bumi yang sedang kamu pijak sekarang!”

Heraclius Berhasrat Untuk Memeluk Islam, Tetapi..

Segala dialog soal jawab Heraclius telah diceritakan oleh Abu Sufyan setelah dia memeluk Islam. Ia direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka.

Heraclius menyampaikan hasrat untuk memeluk Islam memandangkan Nabi yang dinanti-nantikan selama ini telah pun muncul. Muhammad Bin Ishaq telah meriwayatkan bahawa Heraclius telah membuat pengakuan kepada utusan Nabi yang bertugas menyampaikan surat da’wah:

“Demi Allah sesungguhnya aku tahu bahawa temanmu adalah Nabi yang sebenar. Dialah orangnya yanh kamu tunggu selama ini. Kami mendapati ciri-cirinya di dalam kitab kami. Tetapi aku bimbang kedudukanku tergugat di dalam kerajaan Rom sekiranya aku mengikutinya. Jika tiada risiko itu, sudah pasti aku mengikutinya”

Demi Survival Politik.

Jika diperhatikan, sudah terang lagi bersuluh bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi yang benar. Karektornya secocok dengan kajian Heraclius menurut kitab-kitab agamanya. Bahkan dia lebih mengenali Nabi berbanding orang lain.

Namun malang, Heraclius mendahulukan karier politiknya lebih dari prinsip iman yang dibawa oleh Nabi. Bagi Heraclius risiko jika bersama Islam, dia akan kehilangan kuasa, jawatan, pengaruh dan pengikut. Dia sanggup mengenepikan Islam, sedangkan dia tahu Islam yang dibawa oleh Nabi adalah ajaran yang benar.

Imam Nawawi menegaskan ketika menghuraikan kisah ini di dalam Syarah Sahih Muslim:

“Tiada alasan bagi Heraclius. Dia telah maklum benarnya Nabi. Namun gara-gara mementingkan kekuasaan, dia sanggup mendahulukan survival jawatannya mendahului Islam”

Jangan Jadi Heraclius.

Sejarah malang ini menyentap jiwa kita. Betapa pengetahuan tentang batang tubuh Nabi semata-mata tidak memadai, bahkan tidak menjamin kesetiaan kita terhadap Nabi. Sebaliknya iman memerlukan kejujuran untuk diikuti. Selagi di dalam jiwa kita bersarang kepentingan lain selain Islam, kita pasti sukar menjadi pengikut Nabi yang sebenar-benarnya.

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
21 November 2017.