Oleh: Fikril Mohamad
06 Mei 2025
Kinabatangan: Usai sahaja program edaran bakul makanan pada pagi tadi, PAS Kawasan Kinabatangan yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan, Jumaidin Lakalla telah meneruskan aktiviti dengan mengunjungi Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan bersempena sambutan Hari Bomba.
Kunjungan ini bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan anggota bomba yang sentiasa bersedia menjalankan tugas demi keselamatan masyarakat.
Sebagai simbolik penghargaan, rombongan PAS Kinabatangan turut menyampaikan sebiji kek Hari Bomba kepada pihak bomba sebagai tanda ingatan dan sokongan.
Penyampaian kek itu disambut mesra oleh anggota yang bertugas dan majlis ringkas itu berlangsung dalam suasana santai dan penuh mesra.
“Kita amat menghargai dedikasi dan keberanian anggota bomba. Lawatan ini adalah tanda sokongan moral dan terima kasih atas segala pengorbanan mereka,” kata Jumaidin.
PAS Kinabatangan berharap inisiatif seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dan pasukan penyelamat serta menyuntik semangat kepada para petugas untuk terus berkhidmat dengan penuh komitmen.