Home Berita PAS Sabah

PAS Keningau rai anak yatim dan asnaf

55
SHARE

Oleh: Mimi Hazwa H.M.Shom
18 April 2023

KENINGAU: Sumbangan duit raya bagi meraikan anak yatim dan pemberian duit zakat untuk asnaf telah menjadi tradisi setiap tahun bagi PAS Kawasan Keningau dan kali ini diraikan dalam program kemuncak Sinar Kasih Ramadan dan majlis berbuka puasa di Dewan Terbuka Sekolah Rendah Tahfiz Al Ilmi Keningau pada petang Ahad kelmarin.

Dalam majlis tersebut dianggarkan seramai 30 orang anak yatin termasuk golongan asnaf telah menerima duit raya dan pemberian duit zakat dari sekitar daerah Keningau.

Majlis dimulai dengan ucapan oleh Ustaz Abdul Muien Mohd Noor, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Keningau merangkap pihak penganjur, disusuli dengan ucapan Yang Dipertua PAS Keningau, Abdul Hisham Othman.

Program kemuncak kasih Ramadan ini adalah anjuran bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Keningau dan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Keningau.

Pemberian duit raya berkenaan telah disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Keningau, Abdul Hisham Othman, manakala duit pemberian zakat untuk golongan asnaf disampaikan oleh ketua Dewan Muslimat PAS Keningau, Norazian Sapiai.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Keningau, Haimin Yusof, Naib Yang Dipertua PAS Keningau, Abdul Mumin Ali dan ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Keningau, Rafiah Sulaiman.

Diharapkan dengan pemberian duit raya dan zakat sumbangan orang ramai ini dapat membantu sedikit sebanyak membeli keperluan menjelang Syawal serta digunakan dengan sebaiknya di samping mengharapkan keredaan dan pahala daripada Allah SWT.