Oleh : Armain Juhari
13 Julai 2022
KENINGAU : PAS Keningau telah menganjurkan Program Korban bersama masyarakat setempat di Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al Ilmi, di sini pada Ahad.
Sebanyak 12 ekor lembu telah ditumbangkan dan pengagihan daging korban melibatkan 7 buah kampung di sekitar Keningau.
Seramai 50 orang petugas bersama masyarakat setempat bergotong-royong menyelesaikan urusan melapah, memasak, menimbang dan membungkus sebelum daging diagihkan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Abdul Hisham Othman menyatakan penghargaan atas bantuan tenaga yang diberikan dalam menjayakan program korban pada tahun ini.
“Program ini diadakan bertepatan dengan objektif program iaitu memberi kegembiraan kepada golongan yang kurang berkemampuan disamping memberi peluang masyarakat menunaikan ibadah korban.
“Semoga program korban pada masa akan datang diteruskan lagi dengan jumlah yang besar supaya dapat membantu ramai asnaf dan masyarakat setempat,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Keningau.
Turut hadir pada program tersebut Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Sabah, Abdul Muein Mohd Noor, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Sabah merangkap Ketua Muslimat PAS Keningau Norazian Sapiai dan Ketua Dewan Pemuda PAS Keningau, Ridzqan Wirahadi Kusuma.