Home Artikel PAS Wilayah

PAS-JAWI Labuan bincang usaha imarah masjid

47 views
SHARE
LABUAN: PAS Kawasan Labuan telah mengadakan kunjungan dan perbincangan bersama pihak pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, di sini petang semalam.
Kunjungan pimpinan PAS Labuan diketuai Yang DiPertua, Hamir Zahari ini turut disertai Naib Yang DiPertua, Rahim Salleh dan Penolong Setiausaha, Khairul Anuar Salleh dan Ketua Penerangan, Jeno Jamil.
Mereka telah disambut pihak JAWI Labuan iaitu Ketua Penolong Pengarah Kanan, Ustaz Sabarudin Hasan dan Penolong Pengarah Kanan, Ustaz Mohd Zaki Mat Salleh yang antaranya menyentuh mengenai masjid.
PAS Labuan melontarkan cadangan-cadangan untuk menambah baik kualiti pengimarahan institusi umat Islam itu hasil pemerhatian pada Jelajah Tarawih PAS Labuan pada Ramadan lalu.
Ianya juga berkisar mengenai langkah ke hadapan memantapkan fizikal dan kerohanian masjid dan surau, selain meminta JAWI Labuan menyediakan garis panduan berkaitan ibadah, program dan prasarana.
Delegasi kali ketiga itu susulan pertemuan pertama yang menghantar memorandum berkaitan kegiatan mesin slot judi di Ujana Kewangan dan kali kedua mengenai isu penjualan arak secara berleluasa melibatkan Muslim.
Turut serta dalam pertemuan tersebut adalah Pegawai JAWI Labuan, Ustaz Mohd Rezuan Md Nawawi dan Ustaz Muhamad Arash Abd Ghani serta Ustaz Abd Ghani Awang Tengah. – HARAKAHDAILY 18/7/2019