Home Artikel PAS Sabah

PAS gesa wakil rakyat baiki kemudahan Pasar Batu 2

526
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
16 Julai 2020

SANDAKAN : Tinjauan yang dibuat oleh Yang Di Pertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid selasa lalu di Pasar Batu 2 dekat sini menunjukkan kurangnya kemudahan di pasar berkenaan yang memberi kesulitan buat peniaga.

“Antara yang memberi kesukaran kepada peniaga ialah tiadanya sumber air bersih, tiada punca elektrik, tiada surau, tiada saliran air yang teratur, laluan pejalan kaki yang becak, tiada rumah sampah dan banyak lagi,” jelas Sahar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun tampil segera bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat ini.

Sahar difahamkan oleh peniaga, mereka terpaksa mendirikan solat di tepi bangunan terminal bas berhampiran pasar berkenaan kerana tiada surau atau kawasan yang sesuai disediakan oleh pihak berwajib.

“Peniaga perlu membawa air dari rumah untuk bekalan air sepanjang berniaga, selain perlu menyediakan penjana elektrik sendiri untuk sumber elektrik,” ujar beliau lagi.

“Selain itu, peniaga juga mengadu tentang tandas yang amat kotor dan tidak diselenggara sehingga menyebabkan pengguna akan mual dengan keadaan tandas,” tambahnya.

Gesanya, PAS tampil ketika ini bagi menyatakan sokongan kepada peniaga yang perlu dibela agar Ahli Parlimen Sandakan dan ADUN Elopura segera menyelesaikan masalah-masalah tersebut.