Oleh : Mustaman Bin Mustain
1 Oktober 2019
SANDAKAN : PAS Sabah menggesa Kerajaan Negeri agar meneliti secara serius dalam pelbagai aspek mengenai program ‘Sabah Rumah Keduaku’ untuk warga asing sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Perkara ini ditegaskan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid pagi tadi ketika mengulas cadangan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan itu.
“Bagi kita, walaupun ia menjadi sebahagian daripada langkah merancakkan pembangunan hartanah dan pembangunan negeri, namun dibimbangi ia memberi kesan negatif kepada sosiobudaya masyarakat dan ekonomi Sabah pada masa akan datang,” ulasnya.
Katanya, apabila ia dibuka kepada warga asing sama ada mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor atau sebagai pelabur dan individu dari negara luar , sudah tentu suatu masa nanti kebanyakan perumahan hartanah Sabah akan didominasi oleh kumpulan ini.
“Mereka bukan sekadar membeli rumah tetapi dibimbangi turut membawa budaya asing ke negeri ini yang tentunya berbeza dengan budaya masyarakat tempatan” jelas Sahar.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan berkata, kebanyakan pihak mempunyai kuasa beli tinggi ini adalah dari negara jiran seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan lainnya.
Tambahnya, mereka mempunyai kekuatan kewangan dan mudah untuk memiliki rumah yang sepatutnya keutamaan adalah diberi kepada warga tempatan.
Beliau turut melahirkan kebimbangan, kumpulan ini akan mengembangkan potensi mereka untuk mengaut kekayaan negeri melalui peluang yang ada disamping mampu merubah landskap politik negeri ini pada suatu masa nanti.
“Selama ini kita berusaha mengurangkan warga asing tetapi program ini adalah sebaliknya termasuk hak warga tempatan untuk memiliki rumah turut terjejas apabila tidak mampu bersaing dengan mereka yang mempunyai kuasa beli yang tinggi,” tambahnya lagi.
Beliau mencadangkan agar kerajaan memastikan rakyat memiliki rumah yang selesa dan bukannya membuka ruang kepada warga asing dengan menyediakan garis panduan dan peraturan kepada pemaju agar membangunkan perumahan mampu milik.
“Rumah yang terlalu mahal sudah tentu tidak mampu dibeli oleh rakyat kebanyakan di negeri ini sekaligus tidak mampu bersaing dengan warga asing”.
“Kerajaan juga harus merintis jalan melalui kerjasama dengan syarikat kewangan dan perbankan tempatan agar menyediakn kemudahan kredit yang tidak membebankan rakyat yang berkelayakan untuk membeli rumah kediaman mereka”.
Beliau menegaskan, syarikat perumahan ini tidak hanya memikirkan soal keuntungn semata-mata tanpa melihat latar belakang sosial dan ekonomi rakyat di negeri ini yang sepatut nya menjadi keutamaan.
“Kita tidak mahu melalui program ini, syarikat perumahan mengambil kesempatan membina rumah dengan nilai dan harga rumah yng terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh warga tempatan,” tegasnya.