Oleh: KHAULAH AL AZWAR
BENTONG, 24 JULAI :: PAS DUN Ketari hari ini berkesempatan menziarahi 42 keluarga di Flat Taman Benus Jaya, Bentong yang terperangkap hampir sebulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menurut Penyelaras DUN Ketari Roslan Mad Esa, PKPD di kawasan ini telah bermula pada 30 Jun dan sepatutnya tamat pada 13 Julai lalu tetapi oleh kerana arah aliran kes meningkat, ia dilanjutkan sehingga 27 Julai akan datang.
Ujar Roslan lagi, sejumlah besar keluarga yang diziarahi hari ini merupakan kontak rapat kepada CC1 dan CC2 dan masing-masing sedang menunggu keputusan ujian calitan.
“PAS DUN Ketari sudah dua kali turun ke flat ini. Cuma kali ini kami hadir dengan jumlah dan nilai bantuan dengan kapasiti yang agak besar.
“Kebanyakan yang terlibat dalam PKPD ini adalah pekerja kilang anak tempatan dan warga asing. Mereka hilang pendapatan akibat tidak boleh keluar bekerja.
“Kami datang untuk membantu meringankan beban dan kesusahan mereka. Nabi SAW ada bersabda bahawa Allah akan menolong seorang hambanya, selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya”, ujar beliau.
Turut serta di dalam ziarah ini adalah Ketua Pemuda PAS Kawasan Bentong, Muhammad Naqib Sahimi.