Home Berita PAS Negeri Sembilan

PAS dan Pertubuhan Prihatin Waris Negeri Sembilan (PRIWARISN9) berpadu tenaga bantu rakyat terkesan Covid-19

43
SHARE

Oleh : RUSILAH MD SOM

REMBAU, 6 Jul : Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan (BPPN9) bersama Pertubuhan Prihatin Waris Negeri Sembilan (PRIWARIS N9) berpadu tenaga membantu rakyat negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi PRIWARIS N9, Rozmal Malakan memberi kenyataan bahawa lebih 800 buah keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 telah dibantu di seluruh Negeri Sembilan dan angka itu bertambah setiap waktu.

Menurut beliau, pada 9 Jun yang lalu Skuad Cakna Covid-19 (SCC) dan Tabung Bencana Covid-19 (TBC) telah dilancarkan secara atas talian oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Antara lain yang turut menjayakan SKC ini termasuklah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan (LKKPN9) , Lajnah Kesihatan, Khidmat Malaysia, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat.

Pengerusi LKKPN9, Ishak Omar menjadi penggerak utama yang bertungkus-lumus berada di lapangan bagi menyampaikan setiap sumbangan di samping bantuan wakil-wakil serta sukarelawan dari setiap kawasan di seluruh Negeri Sembilan.

Menurut Ishak Omar, beberapa garis panduan dirangka bagi pemohon yang ingin mendapatkan bantuan, iaitu dengan melengkapkan borang maklumat yang disediakan. Perkara ini menjadi data base kepada mereka untuk menyelaraskan pemberian bantuan ke seluruh negeri.

“Sekarang dana semakin kritikal. Permohonan yang diterima di seluruh Negeri Sembilan melebihi 100 orang setiap hari dan  malahan  berpuluh lagi dari luar Negeri Sembilan turut memohon, namun senarai itu akan diserahkan semula ke negeri terlibat melalui jaringan LKKP setiap negeri”, menurut Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar mewakili BPPN9.

Badzli Bakar yang juga merupakan Ketua Lajnah Kesihatan Negeri Sembilan turut terlibat dalam mengendalikan SCC, kerana selain daripada bantuan makanan, penekanan khidmat kaunseling juga penting bagi mengendalikan mereka yang tertekan emosi akibat suasana pandemik Covid-19.

Malahan usaha ini turut disokong oleh NGO Pertubuhan Amal, Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) terdiri daripada Doktor Pakar dan Kaunselor terlatih.

TBC masih memerlukan sumbangan dari orang ramai dan sumbangan boleh dihulurkan ke akaun 05030010000462, Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan dan sebagai rujukan, Tabung Bencana Covid-19. Ucapan jutaan terima kasih buat para penyumbang.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi, Ishak (0143964042), Rohayati ( 0142300950) dan Najmuddin ( 0132991834 ).