KEPALA BATAS: PAS Kawasan Kepala Batas telah mengadakan kunjungan mahabah menemui Parti Progresif Penduduk (myPPP) di Pejabat myPPP Kepala Batas, di sini pada 25 September lepas.
Delegasi pimpinan PAS Kepala Batas diketuai Yang DiPertua, Bukhori Ghazali itu disambut dengan kalungan ‘malai’ oleh Ketua myPPP Bahagian Kepala Batas, M Velliathum sebagai simbol penghormatan kaum India.
Kunjungan tersebut rentetan hubungan yang telah terjalin lebih awal melibatkan kepimpinan di peringkat Parlimen ini di mana saling berbalas khabar sebelumnya.
Pada pertemuan tersebut, pimpinan kedua pihak sempat membincangkan beberapa perkara melibatkan kebersamaan dalam menggerakkan agenda perpaduan rakyat.
Menurut Bukhori, antaranya berkaitan usaha-usaha kebajikan rakyat, selain tindakan bersama dalam mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dan agama.
Beliau berharap pertemuan julung kali secara rasmi itu akan menjadi titik penting dan benih kepada keharmonian kaum yang perlu disuburkan di Parlimen Kepala Batas dan negeri ini.
Turut hadir Timbalan dan Naib Yang DiPertua, Md Sobhi Omar dan Ahmad Kamil Hashim, serta para pimpinan lain.