Home Berita PAS Perak

PAS cawangan sambut seruan kibar Jalur Gemilang

281
SHARE

Oleh : Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG, Menjelang sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-64 Selasa ini, PAS Cawangan-cawangan telah mula mengibarkan bendera Malaysia dan negeri Perak di premis-premis parti dan kediaman masing-masing.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, “Walaupun negara masih dibelenggu dengan penularan pandemik Covid-19, namun ia bukan halangan untuk kita mempamerkan semangat patriotik dan kebanggaan terhadap kemerdekaan negara.

Faisal yang juga Ahli Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menambah, sebagai sebuah parti yang berada dalam blok kerajaan, PAS mestilah mempamerkan kecintaan kepada negara sebagai tauladan kepada rakyat, malah itulah yang kita lakukan sewaktu kita menjadi pembangkang dahulu.

“Bercakap mengenai kemerdekaan, kita tidak terlepas daripada mengenang suka-duka perjuangan generasi terdahulu yang menentang penjajahan Portugis mulai tahun 1511 sehinggalah ternoktah pada 31 Ogos 1957 apabila bendera Union Jack diturunkan.

“Ironinya, pada dua tahun terakhir ini, kita pula berjuang menentang pandemik Covid-19. Maka, semangat, kesatuan hati dan iltizam tinggi yang ada pada generasi terdahulu perlu diterjemahkan oleh generasi hari ini dalam mensifarkan kes Covid-19 di negara ini,” ujarnya.

Beberapa program dianjurkan bagi menyemarakkan suasana sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, antaranya Munajat Perdana PAS Kawasan Bukit Gantang pada 12 Ogos lalu yang meraikan kehadiran tahun baharu 1423 Hijrah.

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) turut menganjurkan Pertandingan Nyanyian Lagu Kemerdekaan secara atas talian yang terbuka kepada seluruh pelajar-pelajar PASTI Kawasan Bukit Gantang.

SRITI Al-Helmi Bukit Gantang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan menganjurkan beberapa acara seperti melukis dan mewarna poster, Busana Merdeka serta Master Chef Merdeka.