Home Berita PAS Melaka

PAS Cawangan Gadek edar ayam segar rai kegembiraan kedatangan Ramadan

98
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 3 Apr: PAS Cawangan Gadek, Kawasan Alor Gajah, telah mengedar 96 ekor ayam segar kepada 96 buah rumah di Kampung Padang Sebang dan Kampung Tanjung Rimau bawah cawangan ini sebagai meraikan kegembiraan menyambut Ramadan tahun ini.

Menurut ketua cawangannya, Emransyah Ismail, program ini yang berlangsung semalam, menjelang Ramadan, bukanlah program bantuan B40 atau kebajikan, tetapi sebagai tanda kesyukuran bersama dapat menempuh semula bulan Ramadan 1443 Hijrah.

“Sumbangan ini sebagai pengikat ukhuwah dan silaturrahim meraikan Ramadan. Biasa orang bagi kurma untuk meraikan Ramadan, tapi kami bagi ayam segar.

“Jadi penduduk-penduduk kampung yang terima ayam ni bolehlah buat masak lauk, buat rendang, esok (Ahad) untuk berbuka puasa hari pertama,” ujar beliau.

Emran berharap agar program ini dapat menguatkan lagi ukhuwah sesama Islam dan memberikan lebih erti kepada seluruh penduduk sekitar cawangan ini.

“Program ini merupakan program mukaddimah ambang Ramadan bagi PAS Cawangan Gadek. Dan insya-Allah kita akan susuli program-program kebajikan yang lain-lain,” ujar beliau ketika memaklumkan perkara ini kepada WARM-Berita PAS pagi tadi.