Home Berita PAS Perak

PAS Bukit Gantang tekad menangi kembali kerusi Parlimen, DUN

224
SHARE

26 Julai 2022 – Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG – PAS Kawasan Bukit Gantang telah mengaktifkan jentera pilihanraya di semua peringkat sejak tahun lalu bagi mendepani Pilihanraya Umum Ke-15 tidak lama lagi.

Semua kerja-kerja asas pilihanraya telah disepadukan di semua peringkat melibatkan kesediaan jentera, latihan, simulasi, pasukan kempen dan kewangan mengikut tanda aras yang ditetapkan pimpinan parti.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail berkata, “Jentera pilihanraya di peringkat Parlimen, DUN dan Unit Daerah Mengundi (UDM) telah memulakan gerakerja asas dalam tekad untuk memenangi kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN-DUN.

“Selain itu peranan sayap-sayap parti iaitu Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat, Himpunan Pendukung PAS dan Assabiqun sangat penting bagi menarik sokongan masyarakat dan menyeru kepada kepimpinan Islam yang bersifat adil kepada semua.

Beliau berkata demikian ketika menyampaian ucapan pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Ke-55 di Pusat Tarbiah PAS Kawasan, Kampung Bukit Chempedak dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Datuk Ahmad Yahya selaku perasmi, Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Haji Ibrahim Zakaria dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Zulkefly Ahmed.

Tambahnya, dalam menghadapi pilihanraya, ahli-ahli perlu menjadi PAS sebuah parti yang kukuh dan kuat. Parti yang kuat mestilah melalui proses tarbiyah, membina kekuatan rohani dan mengukuhkan kekuatan jentera.

“Mendepani cabaran ini, setiap pimpinan samada di peringkat Kawasan, Cawangan, Jawatankuasa Pembangunan Dan Pembangunan Kampung (JPKK) dan ahli-ahli perlu berperanan sebagai Ejen Penerangan Parti.

“Ia perlu dilaksanakan secara tersusun supaya mesej yang dibawa oleh PAS berjaya menembusi kelompok sasaran dengan memanfaatkan media sosial dan teknologi maklumat yang semakin canggih melalui pendekatan kreatif, berkhikmah dan boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Pada majlis tersebut, Jentera Pilihanraya Umum Ke-15 PAS Kawasan Bukit Gantang telah dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Ahmad Yahya dengan acara simbolik pemotongan pulut “Hijau Putih”.