Home Berita PAS Pahang

PAS bertanding di Kuantan, Indera Mahkota, Bentong

705
SHARE

 KUANTAN: PAS Pahang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota dan semua kerusi Dun dalamnya pada pilihan raya umum (PRU) 14 nanti.

 

Pesuruhjayanya, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang mengistilahkan sebagai ‘tiga kerusi panas’, berkata PAS juga akan bertanding di Parlimen Bentong termasuk kesemua kerusi Dunnya.

 

“PAS Pahang memutuskan demikian setelah menerima desakan jentera pilihan raya dan akar umbi parti ini setelah PAS tidak mempunyai apa-apa ikatan lagi dengan PKR dan Dap,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra PAS Pahang bersama Media, di Medan Warisan di sini petang semalam.

 

Pada masa ini kerusi Kuantan dan Indera Mahkota diwakili oleh PKR iaitu sekutu PAS ketika bersama dalam Pakatan Rakyat manakala Dap bertanding di Bentong pada PRU lalu.

 

Dalam Parlimen Indera Mahkota, PAS menang di Dun Beserah dan PKR menang di Dun Semambu pada PRU lalu.

 

Manakala di Kuantan PAS menang di Dun Tanjung Lumpur dan PKR menang di Teruntum tetapi tewas di Inderapura.

 

Sebelum ini pada Konvensyen PAS Pahang April lalu, Ustaz Rosli mengumumkan akan bertanding sekurang-kurang 30 kerusi Dun dan 10 parlimen.

 

Sementara itu pada majlis yang sama Timbalan Pesuruhjaya Andansura Rabu mengumumkan dua tawaran daripada 12 Manisfesto PAS Pahang.

 

Katanya, PAS serius untuk memerintah Pahang oleh yang demikian sebanyak 12 tawaran akan dilaksanakan jika PAS diberi mandat.

 

“Pertama, PAS akan mengagihkan lot-lot tapak rumah kepada semua rakyat yang layak dengan keluasan 1,500 kaki persegi bagi setiap keluarga.

 

“Kedua, PAS akan meneroka dan memulihkan satu juta hektar tanah terbiar di seluruh negeri ini untuk dimanfaatkan oleh belia-belia negeri ini untuk perusahaan pertanian.

 

“Kedua-dua tawaran awal ini pada perkiraan kita akan memberi manfaat besar kepada rakyat yang memerlukan selain memberi pulangan yang lumayan juga kepada kerajaan negeri,” katanya.

 

Turut hadir AJK Harian PAS Pahang.