Home Minda Presiden

PAS beristiqamah bertunjangkan prinsip

255
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 10 / 2024]
PAS BERISTIQAMAH BERTUNJANGKAN PRINSIP


Kita menolak anggapan atau salah faham terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang beraqidah Islam apabila dikatakan terlibat dalam politik dan berubah dengan berubahnya pemimpin. Mereka yang menuduh tidak mengambil kira aqidah perjuangan PAS yang teguh dan pendekatannya yang anjal, bersama Islam yang mampu memimpin sepanjang zaman.

PAS bukan agama secara keseluruhan, namun kewujudan PAS adalah sebahagian daripada keperluan agama Islam apabila ia ditubuhkan untuk menunaikan kewajipan agama Islam yang sempurna mengikut perintah wajib daripada Allah. Hal ini bertujuan untuk menghadapi dan menangani perubahan dunia serta kehidupan masyarakat manusia yang sering kali berubah. Islam teguh dan tetap tidak berubah dalam perkara dasar dan rukun, namun tetap mampu menangani perubahan dunia dan cabarannya, khususnya dalam membawa risalah akhir zaman kepada Rasulullah SAW.

Dahulunya, Allah melantik para nabi dan rasul silih berganti dan mereka diwahyukan dengan kitab-kitab yang berlainan, mempertahankan rukun agama yang tetap sama, di samping syariat serta pendekatan yang mempunyai perubahan. Adapun selepas kewafatan nabi akhir zaman yang tiada nabi dan rasul selepasnya, tugas tersebut diwajibkan kepada kumpulan Islam yang wajib melakukan islah dan tajdid.

Penubuhan PAS adalah disebabkan tujuan tersebut mengikut panduan al-Quran, Kitab Allah yang bersifat mukjizat ilmu yang kekal dan hikmah Rasulullah SAW, berpandukan ayat-ayat, antaranya firman Allah SWT:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Merekalah orang-orang yang berjaya.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Perkataan ‘ummah’ (أُمَّة) dalam al-Quran membawa pelbagai makna dan maksud. Adapun dalam ayat ini bermakna satu kumpulan, jemaah, atau parti daripada seluruh umat Islam, bercirikan tiga rukun: (1) Berdakwah kepada kebajikan, (2) menyuruh kepada kebaikan, dan (3) mencegah kemungkaran.

Para ulama tafsir al-Quran menegaskan maksud kebajikan (ٱلۡخَيۡر) itu ialah seluruh ajaran Islam yang sempurna merangkumi aspek aqidah, syariah, dan akhlak, meliputi iman, Islam, dan ihsan.

Kebajikan ditafsirkan pula oleh firman Allah SWT:

﴿۞لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلۡكِتَٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَٰهَدُواْۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِي ٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلۡبَأۡسِۗ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُتَّقُونَ ١٧٧﴾

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan. Akan tetapi, sesungguhnya, kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, Hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi; dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji; dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan semasa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (iman mereka); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Baqarah: 177]

Kebajikan itu merangkumi peranan manusia yang diciptakan Allah berbeza dengan makhluk yang lain, iaitu ibadah, khilafah, dan amanah. Manusia diurus dan ditadbir dalam kehidupan bermasyarakat yang dinamakan politik yang menjadi sebahagian daripada agama. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Para ulama mentafsirkan ‘khilafah’ dengan siasah politik yang berpandukan agama. Khilafah menjadi sebahagian peranan para anbiya’. Sabda Rasulullah SAW:

“كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الْأَنْبِيَاءُ…”

“Bani Isra’il, siasah (politik) mereka dikendalikan oleh para anbiya’…” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3455, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1842, daripada Abu Hurairah]

Allah melantik para anbiya’ menjadi pemimpin bersama kitab Allah yang diwahyukan berserta hikmah kebijaksanaan akal dan ilmunya. Firman Allah SWT:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣﴾

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Mengikut tafsiran Ibn ‘Abbas RA, manusia berasal daripada Islam yang sempurna bermula dengan Nabi Adam AS selama 10 abad. Selepas itu, berlaku penyelewengan sehingga ada yang mencipta undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah yang merosakkan kehidupan mereka.

Nabi Nuh AS menjadi nabi pertama yang berjuang menghadapi penyelewengan tersebut sehinggalah nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW.

Allah menegaskan peta jalan (road map) perjuangan Rasulullah SAW dengan firman-Nya:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١﴾

“Sesungguhnya, Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari ni‘mat. (38) Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya, mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. (39) (Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 38–41]

Rasulullah SAW dan para sahabatnya berjuang menghadapi pengkhianat terhadap amanah Allah bagi menegakkan Islam yang sempurna sehingga mencapai kemenangan menegakkan negara yang meninggikan Islam mengatasi segala agama dan ajaran yang lain. Rasulullah SAW berjuang mengikut tujuan kerasulan dan kenabiannya yang dinyatakan oleh firman Allah SWT kepada Baginda dan umatnya:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍۢ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّـٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٢ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣﴾

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama meskipun orang Musyrik membenci. (9) Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu daripada azab yang pedih? (10) (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan hartamu dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (11) Nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Jannah ‘Adan. Itulah keberuntungan yang besar. (12) Dan (ada lagi) kurnia lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. (13)” [Surah al-Saff: 9–13]

Rasulullah SAW dan para sahabat diwajibkan berjuang dan berjemaah bagi menghadapi cabaran pengkhianatan Ahli Kitab yang dimurkai Allah dan Musyrikin yang sesat, juga golongan munafiq yang berpura-pura.

Walaupun Rasulullah SAW sudah wafat, ajaran dan perjuangannya tidak wafat bersamanya. Tugasnya diteruskan oleh kumpulan Islam yang bercirikan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, sama ada kumpulan Islam itu berjaya memerintah negara ataupun tidak, mereka terus berperanan mempertahankan Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“لَا يَزَالُ مِنْ أُمَّتِي أُمَّةٌ قَائِمَةٌ بِأَمْرِ اللهِ ‌لَا ‌يَضُرُّهُمْ ‌مَنْ ‌خَذَلَهُمْ وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ”.

“Masih ada dalam kalangan umatku kumpulan yang bangun menegakkan perintah Allah (memenangkan Islam), mereka tidak boleh dimudaratkan oleh sesiapa yang menentang dan mengecewakan mereka, sehingga datangnya keputusan Allah (memenangkan mereka) dalam keadaan mereka terus berjuang.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, No. 3641, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1037, daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan. Lafaz bagi al-Bukhari]

Maka, PAS ditubuhkan oleh para ulama’ dan kumpulan Islam bagi melaksanakan tujuan tersebut. Inilah maksud kenyataan Yang Berhormat (YB) Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Aqidah perjuangan PAS dinyatakan dalam undang-undang tubuh (perlembagaan) PAS bahawa hukum tertingginya ialah al-Quran, al-Sunnah, ijmak, dan qiyas. Pelaksanaannya bersifatkan firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]

Bagi mempertahankan sifat istiqamahnya, PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak (MSU) yang mampu mempertahankan aqidah perjuangan dan berijtihad secara jama‘i (kolektif) bagi menangani perubahan yang mewajibkan tajdid dan islah. Maka, PAS tidak berubah aqidah perjuangannya disebabkan oleh perubahan pemimpinnya, bahkan tidak boleh diseret oleh pengkhianat dan oportunis yang menumpangnya. Sehingga kini, PAS terus bertahan dan maju kerana berwala’ kepada aqidah perjuangan dan umat Islam yang mendukungnya tanpa menumpang pihak yang lain kerana berwaspada dengan firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ ءَامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَٱلۡكِتَٰبِ ٱلَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَٱلۡكِتَٰبِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ مِن قَبۡلُۚ وَمَن يَكۡفُرۡ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلَۢا بَعِيدًا ١٣٦ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ٱزۡدَادُواْ كُفۡرٗا لَّمۡ يَكُنِ ٱللَّهُ سَبِيلَۢا ١٣٧ بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya! Sesiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan Hari Kemudian, maka sesungguhnya, orang itu telah sesat sejauh-jauhnya. (136) Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kemudian kafir (lagi), kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberikan ampunan kepada mereka, dan tidak (pula) menunjuki mereka kepada jalan yang lurus. (137) Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan kepunyaan Allah. (139) [Surah al-Nisa’: 136–139]

Bahtera PAS terus dilayari melalui pendekatan wasatiyyah dalam menangani politik demokrasi yang aman walaupun terdapat banyak ketempangannya. PAS berjaya menyelamatkan umat daripada tenggelam dalam kejahilan kesan penjajahan yang membawa fitnah pelampau takfir (kafir-mengkafir) dan menjadi kafir murtad (liberal), sehingga kedua-dua kumpulan dapat disingkirkan daripada PAS.

Selain itu, PAS juga bertindak secara hikmah laksana menarik rambut dalam tepung; tepung tidak berselerak dan rambut tidak putus, sehingga PAS kini menjadi parti Islam terkuat dengan pertolongan Allah. PAS membawa slogan tegakkan Islam, Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tanpa Islam, semuanya tidak selamat, termasuk juga Melayunya.

PAS terus membawa pendekatan wasatiyyah bagi mendekati semua kumpulan Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem kerana menyambung risalah Islam akhir zaman kepada seluruh manusia, berkonsepkan adil terhadap semua umat ijabah (orang Islam) dan umat dakwah (orang bukan Islam) dalam masyarakat majmuk.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 13 Sya‘ban 1445 / 23 Februari 2024