Home Minda Presiden

PAS bekerjasama mengikut Islam

223
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 36 / 2023]
PAS BEKERJASAMA MENGIKUT ISLAM


Banyak kalangan yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan pihak lain, mengapa ia boleh berubah? Malah, PAS dianggap mengkhianati kerjasama, kerana sepatutnya tetap tidak boleh diubah, khususnya kerjasama bersama DAP yang telah dibatalkan.

Sebenarnya, PAS kerap bekerjasama dengan pihak lain dengan tujuan melaksanakan perpaduan umat, dan untuk memperkenalkan politik Islam sehingga dapat mengadakan kerjasama politik bagi menegakkan negara bersama parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan Islam dan bukan Islam. Hal ini telah dilaksanakan sejak PAS ditubuhkan sebelum merdeka dan selepasnya sehingga kini, dalam urusan politik berkonsepkan perkara ijtihad yang bersifat dinamik.

PAS yang beraqidah Islam yang sempurna, serta menghayati syariat dan akhlak Islam tidak menggunakan akal semata-mata, termasuk dalam urusan politik. Bahkan, PAS menjadikan al-Quran dan Sirah Nabawiah sebagai panduan dalam beberapa bentuk kerjasama dengan pihak lain, sama ada mengambil pendekatan yang dinamakan himayah (perlindungan), tahaluf (persefahaman), ta‘awun (tolong-menolong) atau lain-lain bentuk kerjasama.

PAS menjadikan petunjuk daripada perspektif Fiqh Siyasah Syar‘iyyah dalam keadaan teguh dan tidak berganjak, serta beristiqamah dalam perkara prinsip aqidah perjuangan Islam dan matlamatnya. Namun, bersikap anjal (fleksibel) dalam beberapa tindakan dan pendekatan, mengikut realiti dan situasi yang sentiasa berubah dan berbeza-beza.

Ketika Marhalah Makkiyyah sebelum berlakunya hijrah dan wujudnya sebuah negara yang berdaulat, Rasulullah SAW mengambil pendekatan himayah daripada kekuatan keluarga bukan Islam dan tokoh pemimpin bukan Islam yang berpengaruh, berperikemanusiaan dan bencikan kezaliman. Baginda SAW mendapat perlindungan khususnya daripada keluarga Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib yang dekat hubungannya dengan Baginda.

Pemimpin masyarakat yang berpengaruh ini bertindak membatalkan surat perjanjian kalangan bukan Islam daripada semua suku keluarga Arab Makkah. Hal ini disebabkan mereka bertindak memulaukan penganut Islam, sehingga menyebabkan penganut Islam dan keluarga mereka kelaparan.

Penindasan tersebut semakin keras selepas wafatnya bapa saudara Baginda SAW, Abu Talib dan isteri Baginda, Ummu al-Mu’minin Khadijah binti Khuwailid RA. Sekembalinya Rasulullah SAW dari Taif setelah dibelasah kerana berdakwah, Baginda SAW masuk ke Makkah dengan kawalan al-Mut‘im bin ‘Adi, salah seorang pemimpin bukan Islam yang berpengaruh di Makkah.

Semasa bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abu Talib mengemukakan tawaran para pemimpin Makkah yang bersedia menabalkannya menjadi raja atau melantiknya menjadi pemimpin bersama harta kekayaan yang banyak, Baginda SAW telah menolaknya dengan tegas sebagaimana sabdanya:

يَا عَمُّ، ‌وَاَللَّهِ ‌لَوْ ‌وَضَعُوا ‌الشَّمْسَ ‌فِي ‌يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ.

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam), sehingga Allah memenangkannya atau aku mati dalam perjuangannya, nescaya aku tidak meninggalkannya sekali-kali!” (Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiah, Jld. 1, Hlm. 266)

Abu Talib membalas dengan kata-katanya yang tegas kepada para pemimpin Makkah:

‌مَا ‌كَذَبَنَا ‌ابْنُ ‌أَخِي.

“Anak saudaraku tidak pernah bercakap bohong kepada kami.” (Riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Kabir, No. 511)

Tawaran tersebut ditolak oleh Rasulullah SAW kerana ia membatalkan prinsip Islam. Adapun Abu Talib pula terus mempertahankan Baginda SAW sehingga ia dijadikan dalil oleh al-‘Abbas RA dan para ulama’ yang berpendapat bahawa Abu Talib juga beriman.

Seterusnya, Rasulullah SAW memulakan pendekatan dakwah kepada keluarga terdekat Baginda dengan perintah Allah SWT:

﴿وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤﴾

“Dan berikanlah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Shu‘ara’: 214)

Peranan keluarga terdekat khususnya daripada kalangan penganut Islam adalah sangat penting dalam mempertahankan Rasulullah SAW. Adapun mereka dalam kalangan bukan Islam pula memberi himayah atas semangat kekeluargaan.

Hal ini menunjukkan bahawa kerjasama melalui pendekatan himayah daripada bukan Islam diizinkan dan ia boleh dibatalkan apabila bercanggah dengan prinsip aqidah dan matlamat perjuangan. Adapun kerjasama menerusi pendekatan ta‘awun adalah berpandukan firman Allah SWT:

﴿…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Bertolong-menolong menjadi konsep umum kerjasama dengan semua pihak daripada kalangan Islam dan bukan Islam dalam konteks masyarakat majmuk, dan antara pelbagai bangsa dan negara. Dalam semua urusan agama, kerjasama diadakan dengan konsep bertaqwa dalam hubungan dengan Allah SWT dan perkara kebajikan, walaupun khusus dalam hubungan dengan manusia, tanpa mengira agama dan bangsanya. Sebaliknya, diharamkan bekerjasama dalam melakukan perkara maksiat dan kezaliman, serta pencerobohan dan perbuatan melampau. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Sebab ayat ini diwahyukan apabila ada seorang munafiq yang berpura-pura Islam telah membuat tuduhan fitnah terhadap seorang penganut Yahudi dengan tuduhan mencuri. Sehinggakan, penganut Yahudi bukan Islam itu dibela kerana dia telah dizalimi.

Adapun kerjasama dalam bentuk tahaluf ialah persefahaman bersyarat dengan semua pihak seperti yang terkandung dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) melibatkan penganut Islam daripada kalangan Muhajirin dan Ansar (terdiri daripada Aus dan Khazraj) iaitu penduduk asal Madinah yang menganut Islam. Piagam tersebut juga disertai oleh kalangan bukan Islam iaitu kaum Yahudi daripada beberapa suku kaum, serta Nasrani (Kristian Najran) dan Musyrikin Arab.

Dalam Perjanjian Hudaibiyyah pula, kabilah Khuza‘ah ketika itu belum semuanya menganut Islam telah bernaung di bawah kerajaan Islam. Apabila kabilah Khuza‘ah diserang oleh Bani Bakar yang berada di bawah penguasaan Musyrikin Makkah mencabuli syarat perjanjian damai Hudaibiyyah yang terkenal, maka perkara itu menjadi sebab berlakunya Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah).

Semuanya berkonsepkan sifat adil dan damai terhadap kalangan yang tidak ekstrem, hal ini berpandukan perintah Allah SWT dalam mengadakan hubungan dengan kalangan bukan Islam sebagaimana firman-Nya:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan kawanmu kalangan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Tahaluf dibatalkan apabila kaum Yahudi berlaku khianat setelah mereka merancang untuk menjatuhkan kerajaan Islam bersama musuh dengan menubuhkan bala tentera Ahzab (bersekutu). Pada masa yang sama, mereka juga bertindak menghina ajaran Islam dan penganutnya, serta menghina Rasulullah SAW dan merancang untuk membunuhnya.

Oleh itu, PAS menjadikan hubungan tersebut sebagai panduan dalam semua persefahamannya dengan pihak lain.

PAS pernah bekerjasama dengan parti Melayu Islam seperti UMNO ketika memperjuangkan kemerdekaan, dan selepas mencapai kemerdekaan pula bekerjasama dengan Parti Negara di Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang pertama pada tahun 1959 dan Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1960. Selain itu, PAS juga pernah bekerjasama dengan parti pembangkang daripada kalangan kumpulan kiri dalam PRU pada tahun 1964, dan bekerjasama dengan UMNO pada tahun 1973 apabila menyertai kerajaan campuran selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.

Dalam pada itu, PAS juga terlibat dalam usaha menubuhkan Barisan Nasional (BN) bagi menggantikan Perikatan bersama UMNO pada tahun 1974, seterusnya bekerjasama dengan pelbagai NGO, termasuk NGO bukan Islam dalam PRU 1982. Malah, PAS juga pernah bekerjasama dengan Parti Semangat 46 dalam PRU 1990 dan PRU 1995, serta bersama Barisan Alternatif yang disertai oleh Parti Keadilan Nasional (kini dikenali dengan Parti Keadilan Rakyat atau PKR) dan lain-lain parti dalam PRU 1999. Untuk menghadapi PRU pada tahun 2008 hingga 2013, PAS menganggotai gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP).

PAS dan UMNO yang bergabung dalam Perikatan bersama MCA dan MIC berjuang bersama-sama menuntut kemerdekaan. Akan tetapi, PAS menentang UMNO dalam PRU pra-kemerdekaan pada tahun 1955 kerana menentang konsep kerakyatan jus soli yang diterima oleh UMNO.

Dalam PRN 1959 dan PRU 1960, PAS bekerjasama dengan Parti Negara di peringkat negeri untuk menubuhkan kerajaan negeri Terengganu dan memberikan kemenangan satu kerusi parlimen Kuala Terengganu kepada Dato’ Onn Jaafar. Kemudian, Parti Negara berkubur selepas Dato’ Onn Jaafar meninggal dunia dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Negara lompat parti masuk UMNO.

PAS bekerjasama dengan UMNO dalam kerajaan campuran selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969 dengan beberapa syarat. Antara syarat terpenting ialah menerapkan pelaksanaan Islam dalam kerajaan. PAS bersendirian tanpa menyertai Perikatan, dan selepas itu bersama UMNO untuk menubuhkan BN dan Perikatan dibubarkan.

Akhirnya, PAS dikeluarkan daripada BN akibat krisis UMNO yang memberikan kemenangan kepada kumpulan yang bersikap ekstrem terhadap PAS, seterusnya merampas negeri Kelantan secara darurat.

Adapun kerjasama PAS dengan Parti Semangat 46 yang merupakan pecahan daripada UMNO telah menyebabkan PAS berjaya menawan semula negeri Kelantan. Walaupun Semangat 46 kembali semula kepada UMNO, PAS terus bertahan di Kelantan sehingga kini.

Kerjasama PAS dengan PKR yang merupakan parti pecahan UMNO diadakan di bawa gabungan Barisan Alternatif (BA), sehingga berjaya menawan semula Terengganu dan kemudian bekerjasama dalam gabungan PR yang turut disertai oleh DAP dalam isu demonstrasi dan menentang kezaliman. Kemudian, DAP menolak PAS dan PAS pula menolak DAP kerana sikap ekstrem dan liberalnya parti itu serta penentangannya terhadap agenda Islam yang dibawa oleh PAS.

Kini, PAS bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu parti pecahan UMNO. Pada awalnya, UMNO juga bersama dalam kerjasama ini atas nama perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk melalui Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN). Akan tetapi, UMNO dikuasai oleh sebahagian pihak mahukan PAS hanya bersama UMNO sahaja (MN). Maka, PAS terus mempertahankan gagasan PN dan berjaya, serta mampu bertahan sehingga kini.

Terkini, PAS berusaha mengukuhkan politik Melayu Islam yang wajib memimpin dengan memberikan sokongan dan mengadakan kerjasama untuk menyatukan Melayu melalui Islam. Tujuannya untuk mengembalikan semula kehebatan kepimpinan Melayu Islam ini dengan agenda memimpin perpaduan umat. Hubungan Melayu laksana satu jasad yang tidak berpisah bersama Islam, dan ini telah menjadi asas yang kukuh bagi mewujudkan semula kepimpinan Islam yang bersejarah dan berjaya menangani masyarakat majmuk.

Al-Quran tidak mengizinkan kumpulan Islam bekerjasama sehingga berwala’ (kesetiaan) yang meninggalkan prinsip dan konsep asas perjuangan Islam, seperti menentang Islam berkuasa (tamkin) dan konsep dakwah amar ma‘ruf dan nahi munkar yang menjadi ciri-ciri perjuangan Islam. Ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Firman Allah SWT lagi:

﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan-Ku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Nur: 55)

Allah SWT berfirman dalam ayat yang lain:

﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ٢٨﴾

“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pelindung) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Sesiapa yang berbuat demikian, nescaya terlepaslah dia daripada pertolongan Allah.” (Surah Ali ‘Imran: 28)

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ١١٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang bukan daripada kalanganmu menjadi teman kepercayaanmu, (kerana) mereka tidak henti-henti akan berusaha (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu ingin memahaminya.” (Surah Ali ‘Imran: 118)

Firman Allah SWT:

﴿…وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا١٤١﴾

“…Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” (Surah al-Nisa’: 141)

DAP secara terbuka menentang negara Islam dan mendesak supaya menetapkan sekularisme dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini sekali gus menyalahtafsirkan kedudukan Islam dalam perlembagaan kerana ia ditafsirkan mengikut bahasa penjajah. Sedangkan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, maka pentafsiran wajiblah mengikut bahasa al-Quran.

Banyak kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin utamanya yang menentang pelaksanaan Islam, walaupun pelaksanaan Islam itu hanyalah bagi penganut Islam sahaja sebagaimana mengikut Perlembagaan Persekutuan, tanpa memaksa golongan bukan Islam.

DAP terlebih dahulu bersikap proaktif apabila bertindak keluar daripada BA kerana sifat anti-Islamnya yang ditunjukkan kepada PAS, dan DAP juga terlebih dahulu bertindak mengeluarkan PAS daripada PR dengan alasan yang sama. Adapun PKR dan PAN lebih mengutamakan hubungan dengan DAP kerana menganggap strategi boleh membatalkan prinsip aqidah perjuangan, berpandukan kaedah matlamat menghalalkan cara sehingga bersedia menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata dan menjadi jurucakap DAP terhadap orang Melayu Islam secara percuma.

Selain itu, DAP juga merancang untuk mendapatkan kuasa politik negara setelah kaumnya menguasai ekonomi, supaya mereka dapat memerintah negara melalui pilihan raya dengan meletakkan calon-calon di kawasan Melayu dan calon-calon Melayu yang berfahaman liberal, sekular, oportunis dan jahil agama. Bahkan, ada kalangan Melayu yang diumpan menjadi ketua kerajaan bonekanya.

DAP secara terbuka mencabar Islam, merendahkannya dan mempertikaikan hak istimewa bumiputera yang meminggirkan bahasa kebangsaan.

Kemudian, mereka berlagak kononnya mereka ditindas oleh sifat perkauman Melayu, laksana mendapat betis mahukan paha, setelah mereka diberikan hak kebebasan beragama, berbahasa dan berbudaya yang tidak diberikan oleh negara lain selain daripada Malaysia.

Mereka menjaja Islamofobia dan menjadikan kemajuan PAS dalam PRU-15 dengan jenama Gelombang Hijau yang menjadi ancaman kepada masyarakat bukan Islam. Tanpa mereka mempedulikan kejayaan PAS memerintah beberapa negeri dalam keadaan majoriti besar Melayu Islam hidup aman dan harmoni dalam masyarakat majmuk.

Seterusnya, PAS menolak PKR dan parti-parti liberal yang bekerjasama dengan DAP, termasuk kalangan UMNO yang meninggalkan asas perjuangannya untuk membela agama, bangsa dan tanah air, semata-mata kerana ingin mengejar jawatan, harta dan kepentingan diri.

PAS bekerjasama dengan semua parti dan NGO yang berbeza pendekatan dan lapangan tanpa menolak prinsip dan konsep Islam yang nyata. Bahkan, PAS juga menerima bukan Islam yang tidak menolak prinsip dan dasar Islam untuk menyertai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang berada di bawah jentera PAS, dan bekerjasama dengan semua parti dan NGO bukan Islam yang tidak ekstrem walaupun berbeza ideologinya dengan PAS.

PAS tidak pernah melanggar syarat-syarat tahaluf kerana perbuatan itu diwajibkan oleh Islam, sebagaimana sabda Nabi SAW:

الْمُسْلِمُونَ ‌عَلَى ‌شُرُوطِهِمْ.

“Orang Islam itu sentiasa berpegang kepada syarat-syarat yang wajib mereka tunaikan.” (Riwayat Abu Dawud, Awwal Kitab al-Aqdiyyah, Bab fi al-sulh, No. 3594)

Sesungguhnya, Rasulullah SAW menjadi teladan dalam mentaati perintah Allah SWT supaya beristiqamah. Firman Allah SWT:

﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾

“Maka, tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (113)”  (Surah Hud: 112-113)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 21 Syawwal 1444 / 12 Mei 2023