Home Artikel PAS Wilayah

PAS Batu Perjelas Halatuju dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden

49 views
SHARE

BATU, 29 Julai – Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden yang diadakan di Dewan Orang Ramai Taman Koperasi Polis Fasa 2 pada pukul 9 malam semalam telah berjaya mengumpulkan kesemua wakil dari cawangan – cawangan di kawasan Batu.

Program tersebut dimulakan dengan perbahasan dari wakil Cawangan Taman Koperasi Polis Fasa 2 yang mengingatkan para hadirin tentang bahaya serangan pemikiran kerana ia boleh menggugat akidah umat Islam lantas menjadi punca perpecahan.

Wakil dari Cawangan Taman Wilayah menyatakan sokongan penuh terhadap konsep taawun dan penyatuan ummah dengan UMNO serta menggesa agar pendekatan ini diturunkan hingga ke peringkat ahli. Wakil dari Cawangan Fasa 8/9 menegaskan bahawa Islam sajalah penyelesaian kepada pelbagai masalah negara dan dunia seluruhnya. Wakil dari Cawangan Taman Dato’ Senu pula melontarkan persoalan tentang persediaan PAS untuk menarik kaum lain agar menerima PAS sebagai pemimpin mereka.

Perbahasan tuntas dari semua wakil cawangan mendapat perhatian penuh lebih 50 ahli PAS Batu yang bertahan sehingga program berakhir pada pukul 12 tengah malam.

Dalam program ini juga Naib Yang Dipertua PAS Batu, Ustaz Abu Bakar bin Abd Rahman telah menggariskan beberapa hala tuju kawasan antaranya meningkatkan keahlian cawangan seramai 5 orang setiap bulan dan 30 orang di peringkat kawasan. Beliau juga mengingatkan para ahli agar memperuntukan 70% masa dan tenaga untuk aktiviti luaran seperti ziarah dan bertemu pengundi berbanding 30% aktiviti dalaman parti.

Di akhir program Ustaz Azhar bin Yahya selaku Yang Dipertua PAS Batu dan juga Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan memberi taujihat agar jentera PAS diperkasakan lagi memandangkan pengundi di Parlimen Batu mencecah 130 ribu orang. Beliau turut mengajak ahli PAS Batu agar mengambil ibrah kisah burung pipit yang membawa air dengan paruhnya untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim AS iaitu mesti bekerja sehabis baik mengikut kapasiti masing – masing serta meletakkan sepenuh pergantungaan kepada Allah SWT.