Home Berita PAS Wilayah

PAS Batu Hijaukan Hari Pekerja

1057
SHARE

BATU, 1 Mei – PAS Kawasan Batu meraikan Hari Pekerja baru – baru ini dengan menganjurkan dua program mega iaitu Konvoi Semarak Hijau dan Karnival Kesihatan, di situ.

Konvoi Semarak Hijau telah dirasmikan oleh calon PAS bagi Parlimen Batu iaitu Ustaz Azhar bin Yahya. Konvoi bermotor ini disertai oleh penunggang motosikal lelaki dan wanita dari peringkat belia hingga ke warga emas. Sekurang – kurangnya 100 orang penunggang dan pembonceng telah memeriahkan acara konvoi tersebut yang bermula dari Taman Desa Bakti, Selayang hingga ke Bandar Baru Sentul.

Masyarakat setempat ternyata teruja dengan kehadiran konvoi ini sehinggakan ada yang melaungkan takbir, memberikan ‘thumbs-up’ dan membunyikan hon kenderaan masing – masing tatkala para peserta melalui kawasan mereka. Para pejalan kaki turut melambai – lambaikan tangan tanda memberi sokongan kepada rombongan Konvoi Semarak Hijau yang lalu di jalan sekitar itu.

Konvoi bermotor ini tamat di Tapak Karnival Kesihatan iaitu di Dataran Block 77 Fasa 8/9, Bandar Baru Sentul di mana para peserta beramah mesra bersama masyarakat di situ. Ustaz Azhar Yahya yang sama – sama berkonvoi, turut meluangkan masa untuk merasmikan Karnival Kesihatan tersebut. Dalam ucapan perasmian beliau, Ustaz Azhar menekankan bahawa jika PAS diberi peluang untuk memerintah, kerajaan bakal ditadbir dengan pentadbiran yang telus dan berintegriti.

“SPRM telah mengeluarkan data mengenai salah laku rasuah di kalangan ahli politik Malaysia di mana sifar kes rasuah telah dicatatkan oleh pimpinan PAS. Ini membuktikan wakil rakyat PAS boleh melaksanakan tanggung jawab dengan telus dan berintegriti,” sambung beliau lagi.

Calon PAS itu juga menekankan bahawa Manifesto Malaysia Sejahtera yang dibawa oleh Gagasan Sejahtera menawarkan pelupusan hutang PTPTN ke arah pendidikan percuma.

“Wang PTPTN ini diambil dari pencarum KWSP dan dikitar semula untuk diberi pinjaman kepada pelajar. Apabila peminjam membayar semula, ianya dikenakan untung pula. Ini jelas menindas orang muda dan juga satu bentuk sistem kapitalis yang zalim,” ujar beliau lagi.

Semasa karnival itu, masyarakat turut dihidangkan dengan pebagai aktiviti menarik seperti pemeriksaan kesihatan secara percuma, perkhidmatan akupuntur, semakan daftar pemilih, pertandingan mewarna, sukan rakyat, jumbo sale dan banyak lagi. Penganjuran karnival ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari para penduduk setempat yang ternyata gembira dengan kehadiran Ustaz Azhar Yahya di kawasan mereka.