17 APRIL, Bandar Tun Razak – PAS Kawasan Bandar Tun Razak telah membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang diketuai oleh Yang Dipertua PAS Kawasan, En. Md Shukor Aziz bersama beberapa pimpinan yang lain.
Laporan ini dibuat bagi menyangkal tuduhan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa petugas PAS telah mengambil pil kuda semasa PRU-13 lima tahun lalu di dalam portal Malaysiakini yang diterbitkan pada 14 April 2018.
Di antara pernyataan Ku Nan yang disiarkan dalam Malaysiakini adalah “akhirnya bila selidik, rupanya dia sumbat kawan ini dengan pil kuda”.
Jika difahami pernyataan ini, ia seolah-olah menunjukkan pimpinan PAS membekalkan pil kuda kepada petugas-petugasnya.
En. Shukor menegaskan bahawa “Ini merupakan suatu pernyataan yang tidak berasas, fitnah, palsu dan berniat jahat. Saya percaya penama telah menyebarkan satu berita palsu bagi memburuk-burukkan PAS dan pimpinannya.”
PAS Bandar Tun Razak berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat pihak yang telah membuat tuduhan ini dan pihak yang menyiarkan berita ini di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.