Home Berita PAS Perlis

PAS adakan munajat menjelang pengundian

123
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

PONTIAN, 11 Mac: Menjelang hari pengundian yang berlangsung esok, Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis (DUPNPs) mengadakan program Munajat Perdana bertempat di UDM Ayer Balon DUN Pulai Sebatang, di sini malam ini.

Program yang bermula jam 8 malam itu dihadiri seramai 50 orang.

Hadir sama, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Dato’ Ahmad Yahya, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Menurut Mohd. Shukri, sudah menjadi kelaziman bagi PAS untuk mengadakan munajat setiap kali menghadapi pilihan raya.

“Dalam pada jentera kita bertungkus-lumus siang malam melaksanakan gerak kerja pilihan raya, kita tetap bergantung harap kepada pertolongan daripada Allah SWT.

“Harapan kita, semoga Allah kurniakan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Ujarnya lagi, program berkenaan dianjurkan oleh DUPNPs memandangkan PAS Perlis diamanahkan untuk membantu jentera PN bagi kerusi N54 Pulai Sebatang, Ustaz Abdullah Husin.

Beliau turut mengambil kesempatan menyeru para pengundi, khasnya pengundi muda untuk turun beramai-ramai menunaikan kewajipan mengundi pada hari esok.

“Turunlah mengundi esok, pilihlah Perikatan Nasional demi Johor yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.