Pantau Kualiti Imam Untuk Perkhidmatan Terbaik
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
IPOH: Wujud segelintir imam yang dilantik tahap bacaan Al-Quran agak lemah maka ia memerlukan pantauan dari Jabatan Agama Islam Perak atau mana-mana agensi berkaitan menilai kualiti imam sebaiknya.
Bacaan Al-Quran yang tidak sempruna boleh memberikan kesan kepada kualiti solat sehingga pada tahap tidak sah terutama melibatkan rukun-rukun sembahyang seperti bacaan surah Al-Fatihah.
Beberapa masjid tidak mengadakan mesyuarat tahunan seperti di kawasan Dun Titi Serong sekitar 32 buah masjid yang ada, hanya 16 buah masjid sahaja telah melaksanakan mesyuarat tahunan.
Kenyataan itu ditegaskan Adun Titi Serong, Ustaz Abu Bakar Husin bersama dalam sesi sidang media sempena bajet Perak 2018 di sini, semalam.
Abu Bakar berkata, bila tiada mesyuarat dilakukan sudah semestinya tiada perancangan aktiviti berjalan dengan baik lalu peruntukkan yang diberikan tidak dimanfaatkan untuk keperluan kariah.
“Sumbangan orang ramai dan pihak berkaitan yang memberikan peruntukan adalah untuk segala aktiviti dan program di masjid tetapi jika mesyuarat tidak diadakan sudah tentu tiada perancangan direncanakan,” pandangan beliau.
Berkenaan peranan pengurusan masjid, beliau menyarankan sewajarnya kempen solat Jumaat dilaksanakan bagi membanteras budaya tersebut dalam kalangan lelaki muslim.
Menurutnya, hasil beberapa kajian yang dibuat oleh Pusat Khidmat Titi Serong dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Parit Buntar memang ternyata ada kalangan masyarakat dengan sengaja meninggalkan solat Jumaat.
Tambah beliau, mereka sanggup berpeleseran dan melepak di pusat membeli belah seperti Mydin, Billion serta beberapa lokasi pusat bandar.
“Enakmen sedia ada Seksyen 23, mana-mana individu muslim yang meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja tiga kali berturut-turut akan dikenakan hukuman.
“Saya mencadangkan agar enakmen ini dipinda dan dikaji semula agar tidak perlu sehingga tiga kali berturut-turut malahan hanya dengan sekali sahaja meninggalkannya dengan sengaja sudah boleh diambil tindakan.
“Kerana enakmen yang sedia ada tidak relevan bahkan ia tidak praktikal dalam situasi semasa,” saranannya.