Home Berita PAS Perak

Pandemik Covid-19 : NGO Amal Nur Hikmah bantu rakyat

22
SHARE

Oleh : SJamil

KUALA KANGSAR, Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seiring Kerajaan Perikatan Nasional komited membantu rakyat yang terjejas ekoran Covid 19 yang belum berakhir.

Menurut Penasihat NGO Amal Nur Hikmah Negeri Perak Cawangan Kuala Kangsar, Izam Jamiri Baharin, ini merupakan khidmat sosial dan kerja kebajikan yang perlu diambil tanggungjawabnya oleh semua pihak.

“Ianya perlu disambut dengan usaha kerjasama dari semua pihak untuk menghulurkan bantuan bagi memastikan golongan yang berpendapatan rendah dan juga mereka yang terkesan dapat diringankan bebanan,” ujar beliau.

Menurut Pengerusinya, Makmun Zulkafli, Kerajaan pada masa ini amat mengambil berat tentang nasib rakyat. Semenjak awal PKP dilaksanakan, pelbagai Skim Prihatin Rakyat telah diperkenalkan bagi meringankan kesukaran yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Bagitu jua program yang terkini iaitu Pakej PEMULIH sebanyak RM150 Bilion difokuskan juga bagi keutamaan rakyat.

“Polemik mengambil kesempatan terhadap kesusahan rakyat perlulah dihentikan dan tiada lagi mana-mana pihak yang ‘menangguk di air yang keruh’ dan mempolitikkannya,” tambah beliau lagi.

NGO Amal Nur Hikmah dalam program hari ini, menghulurkan bantuan keperluan kepada 75 buah keluarga dan 25 set barangan kepada PAS Kawasan Kuala Kangsar yang disalurkan melalui Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kuala Kangsar, Abu Bakar Hamzah di sini, hari ini.

Amal Nur Hikmah Negeri Perak Cawangan Kuala Kangsar merangka untuk melaksanakan program kerjasama dengan pelbagai NGO dalam tempoh yang terdekat ini, bagi tujuan menyantuni golongan yang terkesan dengan PKP.