PAMERAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2022 MENGGAMIT KEHADIRAN 135,628 PENGUNJUNG DARI DALAM DAN LUAR NEGARA
Pameran Kembara Mahkota Johor (KMJ) bersempena Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 yang julung kali diadakan di Puteri Harbour, Iskandar Puteri menarik kehadiran 135,628 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Berlangsung selama 11 hari bermula 8 September lalu, dengan mempamerkan 17 kenderaan milik DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang digunakan Baginda sepanjang penganjuran program KMJ sejak tahun 2000.
Pameran KMJ pastinya mengubati kerinduan Bangsa Johor terhadap acara tahunan Keluarga Diraja Johor itu selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019.
Setiausaha Sekretariat KMJ, Hishamuddin Abdul Rahim, berkata selama 11 hari penganjuran pameran berkenaan, ia mendapat sambutan yang cukup baik dari orang ramai termasuk pelancong asing.
“Bukan sahaja rakyat tempatan, malah terdapat pengunjung dari pelbagai negara luar antaranya Argentina, New Zealand, Australia, Greece, Palestin, Singapura, China, United Kingdom dan Korea Selatan.
“Pengunjung cukup terpegun melihat kenderaan-kenderaan yang dipamerkan dan turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama rakan dan keluarga masing-masing,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).
Turut dipamerkan cenderahati-cenderahati yang dipersembahkan kepada Baginda pada acara KMJ antaranya lampu rumah api, replika gerbang mahkota, steering kapal dan replika kereta Morgan.
Pameran KMJ menampilkan empat kereta beroda tiga Morgan digunakan DYMM Sultan Johor sewaktu KMJ 2017 dan kenderaan berkenaan direka khas mengikut spesifikasi Baginda.
Pengunjung turut teruja melihat Trak Mack yang digunakan Baginda Tuanku Sultan pada KMJ 2015 dan bas Prevost Marathon Coach (KMJ 2014).
Orang ramai turut tidak melepaskan peluang bergambar dengan koleksi motosikal berkuasa tinggi, Modenas Jaguh, Harley Davidson serta pacuan empat roda milik DYMM Sultan Johor.
Antaranya, Harley Davidson Road King Special Flinstones, Harley Davidson Soft Tail Deluxe Coronation Edition, Harley Davidson Electra Glide Standard Police dan Harley Davidson Road King Asian Tiger.
#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor
Sumber : FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar