Nadi Selangor By Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha PAS Negeri Selangor
Artikel | Awal Jumaat 9 Syawal baru-baru ini, bumi Palestin khasnya di Baitul Maqdis dan sekitarnya di Tebing Barat serta keseluruhan Semenanjung Gaza tenang dan sunyi kembali. Setelah tegang selama 11 hari sehingga mengorbankan lebih 250 nyawa sejak penghujung Ramadan lalu akibat kezaliman regim haram Israel, segalanya kembali aman. Kedua pihak yang berkonflik khasnya HAMAS dan Israel telah bersetuju mengadakan gencatan senjata tanpa syarat atas inisiatif Mesir dan Amerika Syarikat serta beberapa pihak lain.
Walau kesedihan dan derita menimpa rakyat Palestin, di bawah robohan dan runtuhan bangunan serta kompleks di Gaza, rupanya telah bangkit cahaya harapan yang memberikan masa depan yang baik buat umat Islam di bumi Anbiya’ ini.
Ketegangan dan kemusnahan yang menimpa akibat keganasan pihak musuh rupanya membina keinsafan yang mendorong umat Arab bersatu mengenepikan perbezaan dan konflik dalaman bagi menghadapi musuh yang satu, sekurang-kurangnya dalam tempoh ini. Pihak HAMAS dan Fatah yang menguasai politik di Palestin tetapi atas pentas fahaman yang berbeza boleh bersatu di saat yang cemas, kerana berterusan berpecah hanya akan memusnahkan bumi dan rakyat Palestin yang mereka wakili.
Penyatuan inilah yang telah memungkinkan tanpa diduga gencatan senjata dicapai. Mesir pun yang sebelum ini tidak mesra HAMAS, bersedia menjadi orang tengah dan malah Amerika Syarikat yang pro Israel pun menyokong.
Kerana itu walau ramai yang telah terkorban syahid, ramai lagi yang cedera, bangunan dan rumah musnah, namun warga Palestin bangkit keluar meraikan gencatan senjata ini seumpama kemenangan besar, kerana kemenangan sebenar adalah pada kemampuan para pemimpin mereka bersatu demi penyatuan ummah bagi menghadapi Zionis Israel yang zalim.
Inilah kebesaran dan hikmah perpaduan ummah sekiranya dibina dan dibentuk dengan keikhlasan dan kesungguhan. Allah S.W.T telah memerintahkan Rasul-Nya Nabi Muhammad S.A.W agar mengusahakan politik penyatuan dan perpaduan ummah di zaman Baginda kerana ia akan melahirkan kekuatan umat Islam yang luar biasa.
Seruan perpaduan ummah sebagaimana difirmankan dalam surah Ali Imran ayat 103, yang menyeru agar bersatu-padu atas tali Allah S.W.T dan mengelakkan bercerai-berai sesama sendiri. Inilah kejayaan besar Rasulullah S.A.W dan menjadi model politik yang perlu digerakkan oleh umatnya pada bila-bila masa selepasnya. Keikhlasan dan kesungguhan nanti akan dibantu Allah S.W.T dengan kurnia nikmat persaudaraan sebagaimana dinyatakan dalam ayat ini.
Apabila turun bantuan Allah S.W.T inilah yang kita lihat, ummah berkasih sayang, manakala hati musuh menjadi lentur dan gundah-gulana. Akibat gencatan senjata ini kita lihat warga dunia tidak lagi melabel HAMAS dan rakyat Palestin sebagai pengganas sebagaimana dahulu, sebaliknya Israel pula dituduh sebagai negara Apartheid, pengamal pembersihan etnik sebagaimana yang bergema di Kongres Amerika Syarikat.
Warga dan masyarakat dunia terutama di negara-negara bukan-Islam pula keluar beramai-ramai berdemonstrasi menuntut agar bumi Palestin dikembalikan kepada rakyatnya. Dari Kota London, Amerika Syarikat, Berlin dan negara-negara Eropah lain seruan agar kedamaian dilahirkan di Palestin menjadi semakin lantang. Dan hebatnya tuntutan ini turut bergema di Tel Aviv.
Benarlah sebagaimana dinyatakan salah seorang ulamak besar di Nusantara ini iaitu Almarhum Prof Dr Hamka, apabila menafsirkan ayat di atas di dalam Kitab Tafsirnya, bahawa apabila kita bersatu atas keikhlasan dan berpegang teguh pada tali Allah sebagaimana dikehendaki ketika itu jiwa kita menjadi kebal dan besar. Tatkala itu kata Almarhum tidak ada sesiapa dapat mempermain-mainkan kita lagi. Walau satu dunia bersatu sekalipun tambah beliau untuk menentang kita mereka tidak akan berupaya mengalahkan kita.
Inilah kehebatan yang tidak dapat diukur atau dikesan oleh pihak musuh-musuh Allah S.W.T tetapi cuma dapat dirasai dan dinikmati oleh umat Islam apabila politik perpaduan ummah dapat dibentuk dan dicapai.
Semoga anugerah Allah S.W.T ini tidak dipersiakan oleh saudara-sauadara kita di Palestin, ianya perlu terus digilap dan dipupuk sehingga membibitkan kemenangan yang lebih besar buat umat Islam bukan sahaja di Palestin tetapi dengan izin Allah S.W.T memancar ke seluruh dunia.
Demikianlah sepatutnya juga kita di negara tercinta ini. Kita gusar dan bimbang mengikuti perkembangan di Palestin, kemusnahan dan penderitaan rakyatnya cukup mengganggu jiwa dan perasaan kita tetapi adakah kita sedar bahawa tuntutan perpaduan ummah itu juga menjadi tugas dan tanggungjawab kita di sini?
Kita masih belum selesai membina kekuatan politik yang dikehendaki sedangkan saudara-saudara kita di Palestin sudah berani membinanya dan kini sedang menikmati limpahan anugerah Allah S.W.T itu. PAS, Umno, BERSATU dan yang lain-lain masih dingin dan menyerang sesama sendiri sehingga ke peringkat lebih dari menyerang musuh sebenar.
Palestin sewajarnya menjadi iktibar buat kita parti-parti politik Melayu Islam dalam negara. Musuh kita mungkin tidak setaraf Israel, tetapi jika kita gagal bersatu, menobatkan penyatuan ummah yang dijayakan Rasulullah S.A.W, maka kita juga menempah jalan maut. Kita mungkin tidak berhadapan dengan Israel tetapi kita akan dikuasai musuh yang memiliki agenda yang sama sekali berbeza dari kita, 22 bulan pemerintahan PH akan berulang semula dan kita akan menanggung derita sebagaimana dirasa sebelum ini.
Oleh itu dengan limpahan kejayaan Palestin ini, segeralah kita bangkit memperkasakan penyatuan ummah dalam negara. Umat Melayu Islam jangan lagi berpecah dan bercerai-berai. Politik dewasa ini ditentukan oleh kemampuan bersatu atas platform penyatuan ummah. Bersengketa dan bertelagah sesama sendiri akan menggagalkannya dan bakal mengundang musuh kembali bertapak.
Kita masing-masing perlu memerlu serta lengkap melengkap antara satu dengan yang lain. Tiada satu yang mampu bangkit bersendirian, muafakat membawa berkat. Di Palestin realitinya, HAMAS bersendirian akan gagal demikian juga Fatah atau mana-mana fraksi lain. Insaf dan beringatlah sebelum terlambat. Dunia menuntut dan mendesak agar bumi Palestin kembali menjadi milik umat Islam Palestin sebagaimana bumi bertuah kita ini sewajarnya kembali diterajui anak-anak bangsa.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor