KUALA NERUS, 27 Julai – Empat sesi setiap hari, itulah rutin Mamat Yahya atau lebih dikenali sebagai Pak Ghani, 64, mengumpul durian sepanjang musim raja buah itu di Terengganu.
Biarpun berstatus warga emas, dia tidak sedikit pun menunjukkan keletihan melakukan kerja berkenaan sebaliknya menganggap berbaloi apabila raja buah itu mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar durian di negeri ini.
Menurutnya, pada awal musim durian kira-kira sebulan lalu, duriannya dijual pada harga RM10 sekilogram dan mampu memperoleh sekitar RM700 sehari.
“Sekarang ini, kebanyakan kami jual longgok setompok-setompok kerana bekalan durian yang banyak. Adalah dapat sekitar RM200 ke RM300 sehari.
“Setiap hari, biasanya saya akan naik ke dusun untuk mengumpulkan durian yang gugur. Pada waktu pagi, adalah dapat dalam dua kandar iaitu sekitar 20-30 biji. Manakala, sekitar jam 10 pagi, saya akan naik semula untuk mengumpulkan bakinya dan dapatlah sekitar 60 ke 80 biji sehari.
“Selepas Zohor dan Asar, biasanya hanya satu kandar yang sering dibawa turun untuk dijual. Setakat ini, saya hanya menjualnya kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pemberita di dusunnya di Kampung Lingai, hari ini.
Bapa kepada tujuh orang anak itu turut dibantu anak-anaknya dalam menguruskan dusun durian yang telah diusahakan keluarganya sejak dari tahun 70-an lagi.
“Biasanya kalau bukan musim, saya datang untuk menebas, membersihkan kebun serta menoreh getah sebagai pekerjaan harian,” katanya.
Ditanya tentang harga durian yang agak merudum ketika ini, imam Masjid Kampung Lingai itu tidak menafikan sedikit terjejas.
“Namun, bagi saya masih tiada masalah dan sekarang pun permintaan masih ada. Kalau harga tidak turun sehingga tiada permintaan, mungkin lebih teruk.
“Durian saya durian kampung yang tidak memerlukan penjagaan yang banyak, berbanding orang lain yang mungkin memerlukan kos lebih tinggi,” katanya.