Home Berita PAS Pahang

Orang ramai disaran bersama-sama usaha capai kesejahteraan

122
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 28 Julai :: Orang ramai terutama penduduk setempat sesuatu kawasan atau lokaliti disaran sama-sama mengambil tahu keadaan keselamatan, kebersihan dan seumpamanya untuk kesejahteraan bersama kehidupan seharian.

Sebarang cadangan yang memerlukan kepada tindakan agensi-agensi kerajaan atau pihak-pihak berkuasa tempatan hendaklah disalurkan dengan betul dan berhemat seperti membuat aduan dan memohon perkhidmatan.

Baru-baru ini Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Bentong (MPB) setelah mendengar luahan penduduk sekitar berkenaan masalah pokok di bahu jalan masuk utama ke SMK Bentong, Benus yang mengganggu pandangan dan membahayakan pengguna lalulintas.

Usai menerima aduan, pihak berkuasa MPB telah mengambil tindakan pantas dengan mencantas serta menebang pokok-pokok tersebut.

“Terima kasih banyak kepada pihak berkuasa Majlis Perbandaran Bentong yang telah menebang dan mencantas pokok-pokok di bahu jalan masuk utama ke SMK Bentong dan kawasan perumahan berdekatan.” katanya ketika diminta mengulas tindakan itu.

“Semoga bantuan ini menjadi asbab Allah menurunkan kebaikan dan mempermudahkan semua urusan mereka,

“Hari ini kita bantu mudahkan urusan saudara-saudara kita, esok Allah bantu mudahkan pula urusan kita sendiri, insyaAllah.” katanya.