Home Berita PAS Terengganu

OKU Pekak, Bisu Teruja Ambil Vaksin

194
SHARE

Noraini Jusoh @trdi.my

KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Seramai 30 orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu dari Persatuan Orang Pekak Terengganu (POBT) menyifatkan giliran menerima vaksin dos kedua di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu hari ini, adalah hari sangat istimewa bagi mereka.

Dalam tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) itu mendapati, sebaik memasuki perkarangan dewan, semua OKU melalui proses imbasan suhu, sebelum dibawa ke ruangan khas untuk menerima suntikan vaksin berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketika menunggu proses suntikan, semua OKU sabar menanti giliran di tempat duduk masing-masing sebelum dipanggil ke meja khas untuk mendapatkan vaksin jenis Sinovac sambil ditemani pengiring.

Bagi Wan Aizi Wan Ali, 52, yang pekak dan bisu, dia sangat teruja dan gembira dapat lengkapkan dos kedua suntikan vaksin bagi mencegah wabak COVID-19.

“Ada sesetengah orang takut, risau untuk ambil suntikan vaksin, tapi bagi saya tidak perlu ada perasaan sedemikian kerana tidak sakit pun kena suntik.

“Kepada mereka yang belum lagi berbuat demikian, segeralah mendaftar kerana ini (suntikan) untuk kesihatan diri sendiri, untuk jaga diri kita,” ujarnya yang telah mendapat suntikan pertama pada 3 Jun lalu.

Fazlia Hashim, 37, pula berkata, pemberian vaksin ini sekurang-kurangnya membuatkan golongan OKU sepertinya tidak berasa sangsi apabila berada dalam kalangan masyarakat.

Katanya, dia telah mendaftar melalui aplikasi Mysejahtera dengan pertolongan POPT namun tidak menyangka menerima perkhabaran gembira dapat melengkapkan suntikan bersama rakan senasib, hari ini.

“Alhamdulillah, saya rasa biasa je masa kena suntik, tidak sakit, lepas nie saya rasa lebih yakin dan kuat untuk berhadapan dengan orang ramai,” ujarnya yang mengambil upah menjahit pakaian.