Home Minda Presiden

Normalisasi Israel: Lupa Hanya Kuasa Allah Yang Kekal

918
SHARE

Minda Presiden PAS

NORMALISASI ISRAEL: LUPA HANYA KUASA ALLAH YANG KEKAL


Allah SWT berfirman:

﴿قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ  بِيَدِكَ الْخَيْرُ  إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ٢٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jugalah yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sahajalah adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali ‘Imran: 26)

Ayat ini merupakan salah satu ayat yang sunat dibaca sebagai wirid setiap kali selepas solat lima waktu yang menjadi ibadat wajib bagi rukun Islam dan tiang agama.

Al-Quran mentafsirkan ayat itu dengan firman Allah SWT dalam surah yang lain:

﴿أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ٧ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ٨ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ٩ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ١٠ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ١١ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ١٤ فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ١٥ وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ١٦﴾

“(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum ‘Aad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). (7); Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di semua negeri (pada zamannya)? (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil Qura iaitu tempat tinggalnya)? (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11); Lalu mereka melakukan banyak kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai azab. (13); Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan di akhirat). (14); (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya, “Tuhanku telah memuliakan daku!” (15); Dan sebaliknya apabila diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan resah dan gelisah) serta merepek dengan katanya, “Tuhanku telah menghinakan daku!” (16).” (Surah al-Fajr: 6-16)

Kedua-dua ayat ini memberi petunjuk sepanjang zaman dan sepanjang perjalanan hidup di alam dunia.

Sejarah telah membuktikan akan kebenarannya bahawa tiada kuasa besar di alam dunia ini yang bertahan dan kekal abadi selama-lamanya. Termasuklah kerajaan Nabi Sulaiman AS, sebuah kerajaan yang paling besar dan berkuasa dalam sejarah manusia. Kerajaan Raja Iskandar Zulqarnain yang dipuji oleh Allah SWT kerana keadilannya dan menjadi kuasa besar tunggal pada zamannya tetap tidak bertahan jua.

Tidak terkecuali kerajaan yang zalim durjana juga tidak akan kekal buat selama-lamanya.

Gambaran Allah SWT mengenai pasang dan surut serta rebah dan bangun kejadian alam ini, menjadi tanda kekuasaan Allah SWT yang sentiasa menguji keimanan manusia kepada-Nya.

Perbezaan kerajaan-kerajaan itu hanyalah antara syukur dan kufur terhadap kurniaan Allah SWT.

Nabi Sulaiman AS menikmati kejayaan kerajaannya dengan bersyukur kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman menceritakan kisahnya:

﴿قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ  فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ  وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ  وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ٤٠﴾

“Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakan singgahsana (Maharani Balqis) kepadamu dalam sekelip mata!”. Setelah Nabi Sulaiman AS melihat singgahsana itu terletak di sisinya, dirinya berkata: “Ini ialah limpah kurniaan Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku mengingkari (akan ni’mat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Maha Kaya, lagi Maha Mulia.” (Surah al-Naml: 40)

Ayat ini menjelaskan bahawa Nabi Sulaiman AS sentiasa bersyukur kepada Allah SWT walaupun memiliki sebuah kerajaan yang paling berkuasa.

Begitulah juga Raja Zulqarnain AS yang bersyukur kepada kurniaan Allah SWT. Firman Allah SWT:

﴿حَتَّى إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِنْ دُونِهِمَا قَوْمًا لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا٩٣ قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا٩٤ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا٩٥ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا  حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا٩٦ فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا٩٧ قَالَ هَذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي  فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ  وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا٩٨﴾

“Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua-dua buah bukit itu satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat mengerti pembicaraan. (93); Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj itu sentiasa melakukan kerosakan di muka bumi; oleh itu, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran (cukai dari hasil pendapatan kami) kepadamu, supaya kamu membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” (94); Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan untukku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.” (95); “Bawakan kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu.” Sehingga apabila besi itu sudah menjadi merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atas besi panas itu.” (96); Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (97); (Setelah itu) berkatalah Zulqarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar. (98).” (Surah al-Kahfi: 93-98)

Zulqarnain tetap bersyukur dalam keadaan memiliki kuasa dan menolong orang-orang yang lemah. Pada masa yang sama tidak membebankan cukai kepada rakyat kerana sudah kaya raya serta sedar bahawa kekuasaannya tidak kekal kerana baginda hamba Allah bukannya Tuhan.

Kerajaan Rom dan Parsi juga hilang ditelan zaman, apabila tamat ajal masing-masing. Bahkan kuasa besar umat Islam pada akhir zaman juga ada ajalnya walaupun sejarah mencatatkan ia sebagai sebuah kerajaan yang paling adil.

Kerajaan yang zalim seperti Firaun di Mesir yang mempunyai bala tentera paling ramai dan kuat, serta kerajaan Babylon yang mendirikan kota dan bangunan yang paling teguh atas timbunan korban rakyat yang dipaksa, juga tamat riwayatnya.

Kaum ‘Aad yang mempunyai bangunan paling tinggi dan kaum Thamud yang menguasai teknologi memahat bukit dan batu yang besar untuk dijadikan bangunan telah mati ditelan zaman.

Begitulah juga kerajaan di India dan China purba yang sudah hilang ditelan sejarah.

Pada zaman moden, dunia menyaksikan Jerman dan Jepun bangkit dengan senjata ganas sehingga mencetuskan Perang Dunia Kedua dan berjaya menakluk beberapa wilayah dalam perlumbaannya dengan kuasa Eropah. Akhirnya mereka jatuh terjunam.

Selepas itu, Kesatuan Soviet Komunis hanya mampu bertahan dalam beberapa tempoh tahun sahaja.

Contoh lain yang paling dekat pada abad yang lalu, menyaksikan berkecainya Soviet Union dan blok Komunis.

Maka kuasa Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dan sekutunya pada hari ini sebenarnya sedang menunggu giliran untuk jatuh dan hancur.

Negara umat Islam khususnya negara Arab yang kelihatan kaya harta, cuba berlindung di sebalik agenda normalisasi terhadap negara haram Israel yang dijadikan benteng pertahanan oleh kuasa Barat bagi menghadapi dunia Islam.

Hanya mereka yang faqir dan miskin iman serta rohnya sahaja merasakan beroleh perlindungan harta dan takhta walaupun perlindungan hanya sekangkang kera daripada kuasa Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat mengikut agenda Donald Trump. Pemimpin yang nyata telah mengalami kekalahan dalam pilihan raya negara sendiri yang kelihatan sangat rapuh untuk dijadikan pelindung diri.

Namun, kelihatan masih ada negara yang berbaris menunggu giliran bagi melaksanakan agenda normalisasi ciptaan Trump yang nyata telah kalah, tetapi tidak mahu mengaku kalah dengan alasan piihan raya ditipu oleh lawannya. Walaupun seluruh dunia mengetahui bahawa dialah individu yang paling banyak melakukan penipuan sehingga membimbangkan para politikus Amerika sendiri.

Apa yang menghairankan masih ada yang terus melangkah dalam melaksanakan agenda normalisasi yang mengiktiraf negara haram Israel  dan melaksanakan segala hubungan yang sah bagi mengiktiraf negara haram yang tidak sah dari segi hukum agama dan dunia.

Pada masa yang sama, para pemimpin Israel sendiri dalam keadaan menggila dan menggelabah di bumi Palestin dan bergerak keluar mengerahkan kaum kerabatnya di seluruh dunia bagi menyelamatkan diri.

Bahkan dalam kalangan penganut agama Yahudi sendiri, terdapat mereka yang bermazhab Ortodoks, dikenali dengan Neturei Karta yang menjalankan kempen bagi menyalahkan kaum Yahudi yang menubuhkan negara haram Israel. Ini kerana telah dinyatakan dalam kitab suci mereka yang mengharamkan penubuhan negara Israel. Tindakan itu akan menjadi sebab dikuburkan bangsa Yahudi sebagai hukuman terhadap bangsa mereka yang berlaku zalim seperti membunuh para anbiya’ AS dan auliya’ yang soleh.

Hanya golongan Yahudi sekular sahaja yang tidak mempedulikan kitab suci mereka kerana fanatik perkauman Yahudi yang ingin mengembalikan semula Empayar Nabi Sulaiman AS dan merobohkan Masjid al-Aqsa untuk digantikan dengan Haikal Sulaiman (kuil besar Yahudi). Sempadan negara agung yang diimpikan itu bermula dari Sungai Nil di Mesir sehingga ke Sungai Euphrates di Iraq, di kawasan utara dan selatannya laut termasuk Kota Suci Madinah.

Namun, Allah SWT menegaskan dalam al-Quran:

﴿وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ  غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا  بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنْفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ  وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا  وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ  كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ  وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا  وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٦٤﴾

“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil dan kikir)”, walhal tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (ni’mat dan kurnia-Nya luas melimpah-limpah). Dia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Dia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian antara mereka sehingga hari kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedangkan Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Ma’idah: 64)

Barangkali mereka yang berbangsa Arab itu lebih fasih berbahasa Inggeris daripada bahasa al-Quran yang disebutkan berulang kali dalam beberapa surah yang melarang berwala’ (memberikan kesetiaan) kepada musuh Islam. Antaranya firman Allah:

﴿لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ  وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً  وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ  وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ٢٨﴾

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman rapat) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu keadaan apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah memperingatkan kamu terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Surah Ali ‘Imran: 28)

Adakah mereka itu berada dalam keadaan takut ketika perut dipenuhi makanan yang berlebihan dan duit yang melimpah ruah?

Masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka ialah papa iman dan moral. Maka hilangnya ‘izzah bersama Islam dan umatnya.

Alangkah benarnya firman Allah SWT:

﴿بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ  أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا١٣٩﴾

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafiq bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (138); (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafiq) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139).”

Mereka lupa terhadap amaran Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ  بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ  وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ  إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥١ فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ  فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ٥٢﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai pemimpin-pemimpin, kerana sebahagian daripada mereka menjadi pemimpin kepada sebahagiannya yang lain; dan sesiapa antara kamu yang menjadikan mereka sebagai pemimpin, maka sesungguhnya tergolong sebahagian daripada mereka itu (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (51); Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafiq) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka).” Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisi-Nya (terhadap golongan yang munafiq itu); maka disebabkan itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya. (52).” (Surah al-Ma’idah: 51-52)

Petunjuk Allah SWT daripada al-Quran yang diwahyukan tetap berterusan tidak hilang ditelan sejarah.

Sekiranya musuh Islam dalam kalangan Yahudi, Musyrikin, Nasrani dan lain-lain daripada pelbagai agama dan ideologi bersatu menentang Islam dan umatnya, maka mengapa kita yang mengaku Islam, Arab, Sunni dan paling salafi (mengikuti Salaf) tidak boleh bersatu dengan Islam dan umatnya untuk melawan Yahudi Zionis dan bukan Yahudi?

Alasannya bukanlah disebabkan berlainan bangsa dan mazhab.

Mengapa boleh menyertai kesatuan normalisasi terhadap Israel yang haram tanpa mengira mazhab dan agama?

Allah SWT menegaskan suatu panduan melalui firman-Nya:

﴿لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا  وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى  ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ٨٢﴾

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mendapati bahawa manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan mendapati bahawa orang-orang yang dekat sekali persahabatannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani.” Oleh yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka para pendeta dan ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.” (Surah al-Ma’idah: 82)

Marilah kita seluruh umat bersatu bersama Islam!

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Jumadal Ula 1442 / 28 Disember 2020