Home Berita PAS Terengganu

Norimrana, Nesalata penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA

40
SHARE

KUALA NERUS – Norimrana Mujahid Ali, 24, dipilih sebagai penerima  Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.

Selain Norimrana, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Nesalata A/P Gunasekaran,24, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan Kepujian bersama pencapaian PNGK 3.71.

Norimrana berkata, beliau menanam tekad dari awal untuk merebut angerah tertinggi universiti itu untuk dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya.

Katanya, bapa, Mujahid Ali Mohd Shafi, 58, seorang penjaja kecil manakala ibunya, Siti Noor Omar, 48, hanya suri rumah dan pengiktirafan yang diterimanya pada hari ini bukti kesungguhannya untuk mengubah nasib keluarga.

“Disebabkan kedua ibu bapa saya bukan orang yang berpendidikan (buta huruf), nak baca tulis pun tidak pandai, ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Dengan kejayaan ini, ia merupakan hadiah terindah buat ibu bapa saya sekali gus membuktikan bahawa walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun ia bukan penghalang untuk seseorang itu meraih kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA di sini, semalam.

Norimrana berkata, untuk mencapai kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan banyak pengorbanan.

“Antara cabaran yang saya lalui adalah terpaksa memulakan pengajian semester pertama dan kedua secara dalam talian kerana kekangan pandemik Covid-19 ketika itu yang menghalang pembelajaran secara bersemuka.

“Sepanjang empat tahun belajar di UniSZA, saya juga jarang balik ke kampung di Tumpat ketika cuti semesta sebab mahu memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti kokurikulum dan sukan di universiti,” ujar anak ketiga dari lima beradik itu yang kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara.

Sementara itu, Nesalata A/P Gunasekaran pula berkata, berbekalkan kecemerlangan yang diraihnya itu, beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga Doktor Falsafah (PhD).