Oleh: Nur ‘Iffah
KANGAR : Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak seharusnya menjadi penghalang buat umat Islam meraikan kedatangan bulan Ramadhan pada tahun ini.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, tiada sebarang halangan buat umat Islam untuk melipatgandakan ibadah mereka sepanjang bulan yang mulia ini walaupun negara belum bebas sepenuhnya daripada wabak Covid-19.
Segala bentuk amalan dalam bulan ini ujarnya, boleh terus dilakukan oleh setiap individu Muslim, yang membezakannya hanyalah cara ianya dilaksanakan.
“Ramadhan kali ini disambut dalam suasana PKP, pergerakan kita terbatas berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana kita boleh menunaikan solat berjemaah dan bertarawih di masjid, boleh pergi ke bazar Ramadhan dan sebagainya.
“Namun, matlamat puasa itu sendiri adalah untuk melahirkan insan bertakwa, justeru marilah sama-sama kita mengambil peluang di bulan yang penuh dengan barakah, rahmah dan keampunan ini untuk kita penuhi dengan ibadah-ibadah yang boleh dilakukan di rumah,” katanya dalam perutusan Ramadhan beliau semalam.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis turut mengingatkan bahawa apa yang sedang berlaku di seluruh dunia pada ketika ini adalah ketentuan daripada Allah SWT.
Justeru beliau menyeru seluruh umat Islam supaya menghadapi dugaan ini dengan penuh sabar dan redha.
“Harapan saya agar kita semua dapat bersabar dan hadapinya dengan penuh hikmah.
“Saya juga doakan semoga kita semua berada dalam keadaan sihat dan sejahtera dan akan melalui Ramadhan pada kali ini dengan penuh makna,” katanya.